UKM Bantu Melaka Dapatkan Maklum Balas Tambah Hakim Wanita

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 27 April 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dijangka membuat kajian terhadap langkah mahkamah Syariah negeri Melaka menambahkan bilangan hakim Syariah wanita, kata Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM Prof Dr Wan Kamal Mujani.

Prof Wan Kamal mencadangkan kerjasama melalui geran bersama RM 30,000, untuk penyelidikan, termasuk kajian mendapat maklum balas daripada ummah mengenai perlantikan hakim mahkamah Syariah wanita.

“Mahkamah Syariah Melaka minta kita buat tinjauan bagaimana kepuashatian orang ramai mengenai ada hakim wanita. Maka kita akan buat kajian dengan mempelawa orang ramai menjawab soalan-soalan yang disediakan oleh UKM,” beliau menerangkan selepas menandatangani surat hasrat kerjasama tersebut  dengan mahkamah Syariah negeri Melaka di sini, hari ini.

Menurut beliau, Melaka yang kini mempunyai dua orang hakim Syariah wanita, ada rancangan menambahkan bilangan pegawai kehakiman bagi menangani bilangan kes-kes membabitkan wanita, keluarga dan Faraid yang meningkat.

Sehubungan itu, Ketua Hakim Mahkamah Syariah Melaka Datuk Hj Mohd Radzi Hj Abd Latif memberitahu penyelidikan tersebut juga membabitkan usaha  memantapkan struktur  hierarki mahkamah syariah daripada tiga peringkat yang sedia ada, kepada empat peringkat, iaitu mahkamah rendah, mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah rayuan khas.

Memandangkan langkah ini memerlukan lebih ramai hakim lagi, pihaknya berhasrat menambahkan pelantikan wanita-wanita yang berkebolehan.

Sebelum itu, dalam kertas kerja beliau, Datuk Mohd Radzi menegaskan  pelantikan hakim dari kalangan wanita bukanlah sesuatu perkara yang bertentangan dengan Syarak.

Beliau juga berharap penambahbaikan ini akan memberi lebih banyak peluang untuk hakim wanita melanjutkan pendidikan mereka di UKM.

Kini, hanya Melaka, Wilayah Persekutuan, Kelantan, Perlis, dan Sabah menerima  wanita Islam untuk menjadi hakim syariah.ukmnewsportal-bm

2

3