UKM-CESMED Menerima Anugerah Khas Pejabat Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri Kelantan

Oleh Maisarah Bte Mohd Rabu
Foto Maisarah Bte Mohd Rabu

UKM-CESMED Received Award From Kelantan Tourism And Culture Office.jpg1BANGI, 9 Januari 2015 – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-CESMED) telah menerima anugerah khas dari pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) di Kelantan kerana usahanya membangunkan perusahaan homestay di negeri itu.

Anugerah itu telah disampaikan dalam suatu Majlis Makan Malam Persatuan Hotel Negeri Kelantan di Kota Baru baru-baru ini.

Usaha menambah baik perusahaan homestay di Kelantan adalah melalui beberapa inisiatif termasuk memberi tunjuk ajar serta nasihat kepada pengusaha homestay bagaimana meningkatkan lagi perniagaan mereka untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Ia termasuk nasihat terhadap pelbagai peralatan yang perlu disediakan dalam premis untuk keselesaan penyewa serta perkara yang perlu dilakukan supaya rumah-rumah itu akan kelihatan lebih menarik untuk menawan pelanggan.

Pengusaha homestay itu juga diberi tunjuk ajar bagaimana hendak memasarkan premis mereka.

Usaha CESMED itu telah dilakukan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta MOTAC Negeri Kelantan.

Ini sejajar dengan kepelbagaian kebudayaan yang terdapat di Kelantan yang kurang diketengahkan walaupun mempunyai potensi untuk dijadikan makmal hidup bagi pembangunan homestay.

CESMED sebelum itu telah menjalankan projek Pembangunan Homestay (InapDesa) yang pertama di Negeri Sembilan.

Pengarah UKM-CESMED, Professor Madya Datin Dr Shamshubaridah Bte Ramlee berhasrat untuk membangunkan serta memperluaskan lagi program seperti itu ke seluruh negara.

Turut hadir di majlis itu termasuk Exco Jawatankuasa Perumahan, Kerjaya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md Anizam Abd Rahman dan Pengerusi Homestay Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nasir Bin Mustafa.

Lapan orang pengusaha homestay di Kelantan juga telah menerima pelbagai kategori anugerah manakala UMK turut menerima anugerah Rakan Kerjasama Pembangunan Homestay Kelantan 2014.

Pengarah MOTAC Negeri Kelantan Aidil Afzan ketika berucap di majlis itu berterima kasih kepada UKM-CESMED kerana telah membantu program Pembangunan Homestay Negeri Kelantan khususnya berjaya memasarkan homestay Jelawang serta membantu meningkatkan lagi percambahan idea kepada pengusaha homestay.

Beliau menyifatkan jalinan itu sebagai suatu kesempatan yang baik bagi kedua-dua pihak pejabat MOTAC Kelantan dan UKM-CESMED. Pelbagai program telah dilaksanakan seperti khidmat masyarakat dan pembangunan pelajar serta kesedaran terhadap perniagaan homestay hasil kerjasama itu.
ukmnewsportal-bm