UKM Dan Universiti Georgia Teroka Peluang Kerjasama

UKM And Georgian University To Explore Options for Cooperation1 copyOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 Mac 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ivane Javakhishvili Tbilisi State University (TSU) dari Georgia berhasrat meneroka lebih banyak peluang kerjasama antara mereka khususnya dalam penyelidikan dan pendidikan.

Surat Hasrat (LOI) mengenainya telah ditandatangani di sini hari ini oleh Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, Profesor Dr Rashila Ramli dan Kuasa Usaha Kedutaan Georgia di sini, Levan Machavariani bagi pihak TSU.

Machavariani menyifatkan LOI itu sebagai suatu usaha ke arah hubungan dua hala yang lebih kukuh antara kedua negara, terutama dalam sektor pendidikan dan berharap lebih banyak kerjasama sedemikian dapat diwujudkan.

LOI itu membolehkan pertukaran maklumat termasuk bahan perpustakaan serta hasil terbitan penyelidikan antara UKM dan TSU.

Kedua-dua universiti juga bersetuju melaksanakan pertukaran kakitangan akademik dan pelajar pasca siswazah untuk kajian dan penyelidikan.

Ia juga membolehkan pertukaran perkhidmatan masyarakat dan kebudayaan serta lawatan dan kunjungan badan-badan kebudayaan.

Pegawai-pegawai kedua institusi akan mengadakan rundingan susulan untuk menentukan bidang kerjasama pelbagai bentuk yang akan diwujudkan.

Prof Rashila berkata UKM dipilih sebagai rakan kongsi TSU kerana UKM melalui Institut Kajian Oksidental (IKON) mempunyai pengkhususan dalam kajian Ketamadunan Barat atau Oksidental dalam semua bentuk.

“Jika semuanya berjalan lancar, suatu Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani antara kedua universiti menjelang tahun depan,” katanya selepas majlis itu.

Beliau berkata sebagai permulaan, program pertukaran pelajar antara kedua-dua universiti akan dijalankan.

“Kita boleh mula mengenali sistem pendidikan mereka, mengenali negara itu sendiri dan meneroka bidang-bidang lain bagi kerjasama penyelidikan yang boleh dijalankan,” kata Prof Rashila.

Bidang-bidang yang dapat dikaji termasuk keselamatan, politik, budaya dan masyarakat, pembangunan ekonomi dan keserantauan.

Beliau berkata Georgia terletak di kawasan strategik, yang dianggap sebagai persimpangan penting penemuan Eropah dan Asia. Sejarahnya sebagai sebuah negara yang pernah ditadbir oleh Rusia untuk sekian lama adalah bidang yang menarik untuk kajian para penyelidik.

Sebelum itu Machavariani telah menyampaikan syarahan atas tajuk ‘Dasar Luar Georgia dan Perkembangan Semasa di Wilayah Caucasus’ yang dianjurkan oleh UKM dan Kedutaan Georgia di Kuala Lumpur.
ukmnewsportal-bm