UKM dan Universiti Gifu, Jepun Kukuhkan Hubungan


Oleh Iznee Isa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 24 Julai 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan hormat dan diberi kepercayaan dari Universiti Gifu, Jepun untuk bekerjasama dalam bidang akademik bagi pembangunan kedua-dua institusi.

Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, UKM dan Universiti Gifu telah menjalinkan hubungan yang sangat baik antara satu sama lain.

“Hubungan yang terjalin membolehkan kita berkongsi ilmu yang akan memanfaatkan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Buat masa ini, sekolah musim panas di Universiti Gifu mempunyai tujuh pelajar dari UKM manakala tiga lagi dari Universiti Gifu akan datang ke UKM tidak lama lagi.

Mesyuarat itu turut melahirkan persetujuan kedua-dua pihak untuk membina sebuah pejabat kecil di universiti masing-masing supaya maklumat tentang mereka boleh diakses dengan mudah.

“Saya mahu satu hari nanti kami mempunyai pejabat anda di sini dan kami akan mempunyai pejabat di sana,” katanya.

Seterusnya, UKM dan Universiti Gifu turut berhasrat untuk mengadakan program ijazah berganda untuk pelajar mereka.

Pengarah Eksekutif, Naib Presiden Hal Ehwal Antarabangsa dan Perhubungan Awam Universiti Gifu, Prof Fumiaki Suzuki berkata UKM merupakan sebuah universiti yang komprehensif di mana ia mempunyai pelbagai fakulti berbanding Universiti Gifu.

“Kami memilih UKM kerana ia adalah salah satu universiti terbaik di Asia dan kemudahan di sini sangat bagus,” katanya.

Beliau berkata Universiti Gifu juga mahu mengambil peluang ini untuk belajar dari UKM mengenai cara atau langkah untuk menubuhkan fakulti baru seperti fakulti ekonomi.