UKM Dan University Of Oxford Kerjasama Keselamatan Siber dan Maklumat Perdagangan ASEAN

1
By Saiful Bahri Kamaruddin

Pix: IKMAS

BANGI, 16 Mei 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalinkan kerjasama penting dengan University of Oxford mengenai Keselamatan Siber  dan perlantikan penyelidik UKM Prof Madya Dr Sufian Jusoh sebagai penganalisa kepada badan pemikir universiti British tersebut.

Kerjasama itu adalah di antara beberapa muafakat kedua-dua universiti  ketika lawatan rombongan UKM yang diketuai oleh Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali ke United Kingdom dari 13 hingga 17 April.

Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) UKM dan Cyber Security Oxford, pusat pengajian dan penyelidikan keselamatan siber di University of Oxford, akan bekerjasama dalam portal kapasiti keselamatan siber antara kedua-dua universiti.

UKM juga akan membangunkan kursus bersama dan program penyelidikan antara kedua-dua universiti.

Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM akan bertindak sebagai wakil untuk portal kapasiti keselamatan siber.

Sementara itu, Timbalan Pengarah IKMAS dan Felo Kanan Dr. Sufian dilantik ke Oxford Analytica, badan pemikir institusi British tersebut, untuk menghasilkan taklimat harian mengenai dasar pelaburan dan perdagangan di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

Satu persidangan meja bulat yang dianjurkan oleh UKM mengenai komuniti ASEAN turut menyaksikan Naib Canselor bertukar-tukar Memorandum Persefahaman dengan Fakulti Perubatan University of Oxford dalam hal mengenai kerjasama antara fakulti perubatan.

UKM juga akan laksanakan pertukaran para akademik dan pelajar pasca siswazah antara IKMAS dan St. Antony’s College, Universiti Oxford.

Pada forum pelaburan ASEAN di Frankfurt, Jerman, salah satu hasilnya ialah  IKMAS akan menjadi rakan kongsi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)  dan Majlis Perniagaan EU-ASEAN bagi menggalakkan Pelaburan dalam ASEAN di pelbagai bandar raya di Eropah pada tahun 2017 dan seterusnya.ukmnewsportal-bm
2