UKM Hantar Kontinjen Terbesar Ke MASUM 2015, Sasar 6 Tempat Terbaik

03
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 27 Julai 2015 – Pasukan atlet Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mensasarkan menduduki enam tempat terbaik pada kejohanan tersebut yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai bermula pada 28 Julai hingga 7 Ogos 2015.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal berkata sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi serta persediaan semasa pasukan yang tekal melalui penyertaan acara sukan.

“Untuk MASUM tahun ini, UKM menghantar sebanyak 14 pasukan yang melibatkan seramai 182 atlet. Penyertaan kali ini adalah penyertaan terbanyak yang pernah kita hantar.

“Jika sebelum ini kita selalu hantar pasukan yang berpotensi untuk menang, tetapi kali ini kita bagi peluang kepada pasukan-pasukan baru yang telah menujukkan semangat juang dan kesukanan yang tinggi untuk mengambil bahagian di MASUM,” katanya kepada Portal Berita selepas majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UKM ke Karnival Sukan MASUM 2015 di sini pada 24 Julai lepas.

Beliau mengingatkan supaya atlet-atlet UKM bertanding dalam keadaan yang bersiap sedia dan dengan penuh kesungguhan serta dapat memberi keputusan luar biasa dan membanggakan universiti.

“Saya harap para altet mengekalkan disiplin dan integriti yang tinggi dalam setiap acara yang disertai dan dapat membawa pulang seberapa banyak pingat yang mampu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan, Dr Tajul Arifin Muhamad berkata setiap atlet yang dihantar merupakan atlet yang telah mempamerkan pencapaian yang konsisten pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014 dan kejohanan MASUM 2014.

“Kita bukan sahaja sertai kejohanan ini untuk memenangi acara semata-mata tetapi bagi mengukuhkan jalinan kerjasama antara universiti-universiti yang terlibat kerana kejohanan ini dianggap sebagai satu perjumpaan besar bagi universiti-universiti awam di seluruh Malaysia,” katanya.

UKM akan memberi cabaran kepada universiti lain dalam 14 acara sukan iaitu basikal, bola jaring, bola baling, catur, woodball, sepak takraw, renang, taekwando, sofbol lelaki, futsal lelaki, Pétanque, bola tampar lelaki dan wanita, pencak silat dan ragbi.

Seramai 27 pegawai akan mengiringi atlet-atlet itu yang diketuai oleh Prof Noor Aziah sebagai Ketua Kontinjen.ukmnewsportal-bm

 

04

01