UKM Menang Makalah Jurnal Ekonomi Terbaik 2014

010615_MAPIM_KPM_01N
Oleh Saiful bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 28 Mei 2015 – Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) memenangi Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM)-Kementerian Pendidikan 2014  bagi kategori Makalah Jurnal Terbaik Kemanusiaan dan Sains Sosial.

Anugerah tersebut disampaikan kepada pengarang-pengarang pada majlis   anugerah MAPIM-KPM 2014 oleh Menteri Pendidikan II  Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh di sini hari ini.

Makalah tersebut yang berjudul Hubungan Sebab Dan Akibat Antara Turun Naik Pasaran Saham Dan Pembolehubah Makroekonomi Terpilih: Kes Malaysia dikarang oleh  Lida Nikmanesh, Abu Hassan Shaari Md Noor, Tamat Sarmidi dan Hawati Janor dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM.

Penyelidikan ini meneliti hubungan dinamik antara turun naik pasaran saham dan ketidakstabilan makroekonomi di Malaysia dalam tempoh Februari 1991 hingga Februari 2013. Bagi tujuan ini, data bulanan bagi indeks saham KLCI dan satu set pembolehubah makroekonomi digunakan.

Universiti Malaya merebut anugerah kategori Buku Terbaik dengan judul Applikasi Tin: Memenuhi Cabaran Hijau, yang dikarang oleh Prof V.G. Kumar Das.

Buku ini mengenai hasrat ramai penyelidik untuk memperoleh sumber maklumat mengenai kemajuan bidang bahan timah dalam banyak aplikasi timah, khasnya bagi tempoh dua dekad yang lalu  di mana pelbagai penggunaan timah telah kelihatan.

Bagi kategori  makalah jurnal terbaik Sains, Teknologi dan Perubatan, Universiti Malaysia Perlis (UMP) muncul sebagai pemenang dengan kajian  bertajuk Penjerapan Aspirin Pada Nanotube Karbon Berbilang Lapisan Dan Ciri-Ciri Pelepas Di Dalam Simulasi Cecair Badan yang dikarang oleh Siti Hajar Alias, Nor Aziah Buang, Alias Mohd Yusof dan Mohd Lokman Ibrahim.

Hasil terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) berjudul Sejarah Islam Di India: Abad Ke-8 Hingga Abad Ke-9 pula dipilih sebagai yang terbaik dalam kategori Editor Naskhah, yang disunting oleh Rohaida Bt Baharudin.

Dalam pada itu, dalam ucapan beliau sebelum penyerahan anugerah, Idris berkata Malaysia kini berada dalam lingkungan 25 negara teratas daripada 126 buah negara dalam penghasilan buku ilmiah,.

Namun begitu  beliau memberitahu prestasi negara masih belum memenuhi piawaian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bersatu (UNESCO) iaitu 1,000 judul buku bagi setiap satu juta penduduk.

Malaysia hanya menghasilkan kira-kira 18,000 judul buku pada 2011.

“Berdasarkan kepada piawaian UNESCO itu, Malaysia perlu menghasilkan 30,000 judul setahun,” katanya.

Beliau menyaran supaya penerbit ilmiah mencari pendekatan yang lebih kreatif dalam memendekkan proses penerbitan sesebuah buku tanpa menjejaskan kesempurnaan karya.

“Saya maklum bukan mudah untuk mencapai matlamat tersebut. Terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani termasuk berkaitan isu peruntukan. Namun saya percaya kita berupaya mencapai matlamat itu jika galakan dan sokongan berterusan diberi kepada semua,” katanya.

Anugerah MAPIM-KPM merupakan anugerah tahunan yang merangkumi tiga kategori iaitu Anugerah Buku Terbaik, Anugerah Makalah Jurnal Terbaik serta Anugerah Editor Nashkah Terbaik.

Turut hadir pada majlis ini Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar.

010615_MAPIM_KPM_02N

010615_MAPIM_KPM_03N