UKM Mercu Tanda Kemerdekaan Negara

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman

BANGI, 19 Ogos 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan pada 18 Mei 1970 adalah sebahagian daripada proses perjuangan kemerdekaan negara dan merupakan salah satu mercu tanda kepada kemerdekaan Malaysia.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dr Imran Ho Abdullah berkata para pejuang UKM dengan tegas berpegang bahawa kemerdekaan yang sebenar adalah apabila rakyat memperoleh kemerdekaan pemikiran yang hanya dapat dibentuk menerusi pemerolehan pendidikan tinggi iaitu dengan tertubuhnya sebuah universiti untuk rakyat negara ini.

“Bagi kebanyakan kita yang merupakan generasi pasca merdeka seharusnya memahami, mensyukuri dan menghargai kepentingan kemerdekaan negara.

“Nilai-nilai kenegaraan seperti cintakan negara, pengorbanan mempertahankan negara dan usaha yang bersungguh-sungguh membangunkan negara perlu diserap dalam diri semua termasuklah mahasiswa yang merupakan kelompok pewaris pimpinan negara pada masa akan datang,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat UKM 2015 di sini pada 17 Ogos 2015.

Katanya satu tonggak penting dalam persediaan negara menjadi negara maju dan bangsa yang dihormati ialah melahirkan generasi muda berilmu yang mempunyai semangat dan jati diri yang tinggi.

“Dalam usia 45 tahun, UKM telah melaksanakan tanggungjawab untuk menepati janji kepada rakyat dan negara yang telah mengamanahkan universiti ini untuk kita jaganya.

“Jadi, mari sama-sama kita terus menggembleng segala potensi yang dimiliki dengan menghasilkan sesuatu yang bermakna dan bermanfaat kepada kesejahteraan kehidupan masyarakat menerusi keilmuan dan kepakaran yang terhimpun di sini,” ujarnya.

Beliau memohon agar seluruh warga kampus tidak berasa segan atau malu untuk mengibarkan jalur gemilang sebaliknya berbangga kerana jalur gemilang adalah lambang kesatuan hati, simbol kedaulatan dan tanda maruah diri sebagai rakyat Malaysia.

“Bersama-samalah kita memeriahkan dan menghayati nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini untuk bekalan generasi masa depan,” katanya.

Majlis tersebut turut disertai oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor, pihak pengurusan atasan dan kakitangan UKM.ukmnewsportal-bm

4

2

3