UKM Sasar Kedudukan Tiga Teratas di MASUM 2017


Oleh Iznee Isa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Julai 2017 – Sebagai tuan rumah Karnival Sukan MASUM 2017, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mensasarkan kedudukan tiga teratas dan mengumpul seberapa banyak pingat yang boleh.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal berkata para atlet perlu mempunyai semangat yang tinggi, menyerlahkan bakat yang ada disamping menjaga nama baik universiti.

“Kerjasama antara ahli pasukan itu penting dan semangat setia kawan antara satu sama lain perlu ada untuk meraih kemenangan,” katanya semasa Majlis Penyerahan Bendera Kontijen UKM Karnival Sukan MASUM 2017.

Beliau turut berpesan kepada atlet untuk bertanding dengan baik serta berdoa bagi mencapai kemenangan.

“UKM menduduki tempat ke empat pada Karnival Sukan MASUM 2016. Jadi, pada tahun ini sebagai tuan rumah, saya berharap kita dapat menduduki tempat tiga teratas daripada keseluruhan universiti yang bertanding,” ujar beliau.

Beliau berkata UKM telah membuat persiapan rapi bagi menerima kira-kira 4,000 atlet daripada 20 Universiti Awam.

“Dari segi penginapan, semua kolej kediaman di kampus induk akan digunakan untuk menempatkan para atlet.

“Selain itu, kita juga mendapat kerjasama daripada Universiti Putra Malaysia, Stadium Nilai dan Pusat Boling Bangi Gateway untuk beberapa acara,” katanya.

Beliau berkata semua Pusat Tanggungjawab (PTj) yang terlibat termasuk Pusat Kesihatan, Pusat Khidmat Siswa dan Pusat Komunikasi Korporat telah bersedia untuk menjayakan MASUM 2017.

UKM menghantar 192 atlet untuk bertanding dalam 15 daripada 16 acara yang dipertandingkan seperti olahraga, berbasikal, boling dan bola tampar.

Karnival Sukan Masum 2017 akan berlangsung pada 10 hingga 21 Julai 2017.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Sukan UKM, Dr Tajul Arifin Muhamad.