UKM Sedia Bantu Melaka Tubuh Pelabuhan Maritim Antarabangsa

UKM Ready To Aid Malacca To Set Up International Maritime PortOleh Asmahanim Amir
Foto Ismail Ibrahim

MELAKA, 14 April 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersedia berganding bahu dengan kerajaan negeri Melaka bagi merealisasikan cadangan penubuhan semula pelabuhan maritim bertaraf antarabangsa di Melaka.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM), Prof Dr Imran Ho Abdullah berkata sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang mempunyai tenaga mahir dalam pelbagai bidang penyelidikan, pengajaran dan jalinan industri, UKM akan bersedia berganding bahu dengan kerajaan Melaka bagi mencapai hasrat murni tersebut.

“Sejarah telah membuktikan bahawa pelabuhan antarabangsa Melaka pada zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka telah berjaya memakmurkan ekonomi antara dua negara iaitu Melaka-China. Oleh itu, usaha berkenaan perlu dilakukan semula bagi mengulangi kejayaan tersebut,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Seminar Melaka Sebagai Pelabuhan Maritim Antarabangsa, di sini semalam.

Beliau berkata UKM mempunyai pakar dalam pelbagai bidang penyelidikan, pembentukan dasar ekonomi negeri serta program melatih modal insan dalam mencapai hasrat tersebut.

“Saya yakin jika kerjasama ini dapat dilakukan, terutamanya pihak UKM Pakarunding akan dapat memainkan peranan utama untuk menyelaraskan kerjasama berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Muzium Warisan Akademik UKM, Dr Mohamad Samsudin berkata sebagai permulaan UKM akan mengadakan seminar dari semasa ke semasa.

“Kita akan kumpulkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang, bukan sahaja bidang sejarah dan arkeologi sahaja, tetapi dari bidang strategik, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Unit Perancangan Ekonomi (UPEN). Mereka akan bentang kertas kerja dan kita akan kaji balik hasil pembentangan tersebut,” kata  Dr Mohamad.

Beliau telah berbincang dengan Prof Imran untuk mengambil bahagian dalam beberapa kajian.

“Antaranya ialah Penilaian Dampak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment) tentang pantai sebab nak buat pelabuhan. Jadi kita kena korek lumpur-lumpur yang ada seperti yang disebut oleh Ketua Menteri,” beliau menerangkan.

Dalam pada itu, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kegemilangan Hubungan Diplomatik Melaka, Dr Mohamad berkata laluan yang ada di Selat Melaka adalah laluan yang selamat.

Katanya konsep international free passage atau laluan antarabangsa bebas merupakan elemen yang penting bagi membawa kapal-kapal berlabuh di Melaka.

Menurutnya peranan Melaka bukan hanya terdiri daripada pelabuhan entrepot tetapi hasil Melaka juga telah didagangkan ke rantau lain.

Seminar satu hari ini telah menghimpunkan 13 kertas kerja dari pelbagai bidang dan agensi. Ia adalah anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dengan kerjasama UKM dan kerajaan Negeri Melaka.