UKM Tempat Pilihan Utama Empat Adik Beradik

6
Oleh: Anthony Ulek Jeti
Foto : Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 1 September 2015 – Empat daripada tujuh orang anak kepada Asri Bin Mohd Dahan, seorang bekas anggota Polis yang berasal dari Mentakab Pahang, menjadikan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) sebagai tempat pilihan utama untuk menimba ilmu di peringkat pengajian tinggi.

Suasana gembira jelas terpancar melalui gelagat dan riak wajah ahli keluarganya ketika mereka menemani anak Asri yang keempat iaitu Syahirah Asri yang mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu di Fakulti Sains Kesihatan, bidang terapi pertuturan di Kampus Kuala Lumpur UKM hari ini.

Warisan keluarga ini menjejak kaki ke UKM dimulai dengan anak sulung Asri  yang bernama Robiha Asri, yang tamat pengajian pada tahun 2004 dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Anak yang kedua iaitu Fauzul Kabir Asri lulus pengajian pada tahun 2009 dari Fakulti Pengajian Islam dan anak yang ketiga iaitu Lutfi Asri di tahun akhir dalam bidang Pengajian Islam melalui Program Pusat Kembangan Pendidikan.

Apabila ditanya, apakah faktor-faktor utama yang mendorongkan mereka adik beradik memilih UKM, Syahirah dengan yakin menjawab, beliau ingin mengikut jejak abang dan kakaknya yang banyak memberi dorongan dan tauladan yang baik kepadanya.

Tambah beliau, program-program pengajian yang ditawarkan di UKM antara yang terbaik di Malaysia.

Kemasukan pelajar baharu di Kampus Kuala Lumpur untuk sesi Akademik 2015/2016 kali ini mencatatkan keseluruhan seramai 370 orang, dengan  hampir 75 % terdiri daripada wanita.

Daripada tiga fakulti, iaitu Pergigian, Farmasi dan Sains Kesihatan, bilangan pelajar yang ditawarkan tempat di fakulti Pergigian adalah 47 orang pelajar dengan pecahan pelajar perempuan seramai 36 orang dan 11 orang pelajar lelaki.

Fakulti Farmasi merekodkan pengambilan seramai 86 orang dengan pelajar wanita seramai 67 orang dan pelajar lelaki 19 orang.

Manakala Fakulti Sains Kesihatan pula mencatatkan pengambilan seramai 237 orang pelajar dengan pecahan pelajar wanita seramai 174 orang dan pelajar lelaki 63 orang.ukmnewsportal-bm

2

3

4