Universiti Perlu Cari Sumber Pendapatan Sendiri – Prof Chang Ching-Ray


Oleh Nadia Sapuan
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 21 Mac 2017 – Keadaan ekonomi yang semakin mencabar menyebabkan universiti agak sukar mendapatkan dana yang diperlukan dan perlu mencari inisiatif sendiri untuk mencari sumber pendapatan.

Demikian menurut Timbalan Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Pentadbiran, National Taiwan University (NTU), Prof Chang Ching-Ray dalam syarahannya yang bertajuk Building Strong Industry-Academia Collaborations For Greater Funding and Less Tuition Fee Dependent untuk Program Global Talk Series anjuran Pusat Hubungan Antarabangsa disini baru-baru ini.

Menurutnya, NTU adalah satu-satunya universiti di Taiwan yang mempunyai dana endowmen sendiri dan diberi kuasa untuk mengurus dan mengendalikan urusan pentadbiran sendiri.

Beliau turut berkongsi tentang langkah yang digunakan NTU bagi meningkatkan sumber pendapatan dengan meningkatkan pelaburan dalam perniagaan yang menampakkan keuntungan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata perubahan landskap pendidikan bersifat globalisasi yang berlaku kini menyebabkan pelajar mempunyai permintaan yang tinggi terhadap pendidikan.

“Kita perlu menjadi proaktif, kreatif dan sentiasa fokus dalam menghadapi cabaran-cabaran yang berlaku masa kini,” katanya.

Beliau berkata UKM perlu mengambil contoh-contoh yang baik dari universiti luar terutamanya dalam pengurusan kewangan bagi melancarkan pentadbiran dan pembelajaran serta pengajaran.