Wanita Tanggung Beban Bencana Banjir Lebih Daripada Lelaki

Women Bore The Brunt Of Flood Disasters

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Januari 2015 – Wanita mengalami lebih penderitaan daripada lelaki sebagai mangsa banjir di pantai timur Semenanjung Malaysia bulan lalu dan Januari ini.

Suatu wacana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk ‘Bicara Tanpa Suara: Perspektif Gender Dalam Pengurusan Banjir’ di sini hari ini berpendapat bahawa wanita menanggung bebanan yang lebih kerana mereka dipinggirkan dan tiada hak membuat keputusan bagaimana hendak mengurangkan kesan banjir.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Profesor Madya Dr Madeline Berma mendapati secara umumnya wanita adalah antara mereka yang paling menderita akibat banjir, terutama yang kurang upaya, yang mengandung, ibu menyusu dan ibu tunggal.

Dr Madeline, yang melawat kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Tumpat, Kuala Kerai dan Manik Urai di Kelantan baru-baru ini, berkata kesan akibat banjir berbeza antara lelaki dan perempuan.

Beliau berkata banjir baru-baru ini adalah yang paling dahsyat bagi ramai mangsa. Bagaimanapun wanita yang paling terjejas kerana sebahagian besar bantuan yang dihantar ke kawasan yang teruk dilanda, tidak sampai kepada wanita dahulu.

“Kaum lelaki biasanya mengutip bekalan bantuan kecemasan yang diagihkan di sepanjang jalan-jalan utama, tetapi ia tidak bermakna bahawa keluarga mereka mendapat manfaat. Isteri dan ibu yang menjaga anak terpaksa tinggal di rumah  seberapa lama yang boleh untuk menunggu bantuan. Walaupun berada dalam keadaan bahaya akibat air yang semakin naik tetapi tetap terpaksa tinggal dengan anak untuk melindungi mereka itu,” katanya.

Antara wanita yang menghadapi risiko terbesar adalah ibu-ibu tunggal dan wanita yang sedang sakit yang seorang sahaja mengetuai keluarga. Tiada suami dan bapa untuk membantu mereka berpindah atau mengambil pakej bantuan yang diedarkan oleh pihak berkuasa dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Apa yang sepatutnya dilakukan adalah untuk bantuan dihantar terus kepada keluarga kerana isi rumah biasanya diuruskan oleh isteri dan ibu. Mereka adalah orang yang paling arif mengenai keperluan harian, sama ada makanan, pakaian atau perubatan. Kaum lelaki biasanya akan berada jauh dari keluarga mereka sama ada mengambil bahagian dalam usaha pemulihan atau mencari bantuan,” kata Dr Madeline.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa kerana ada bantuan yang tidak diagihkan dengan betul. Di Pahang, beliau melihat pasukan bantuan dalam kenderaan pacuan empat roda menghumban bekalan dari tingkap atau bumbung kereta kepada sesiapa yang menunggu di tepi jalan.

Kata Dr Madeline, pembaziran berlaku secara terang-terangan dan beliau kecewa dengan orang yang menunggu di tepi jalan yang menganggap bekalan tersebut sebagai durian runtuh yang mungkin digunakan untuk dijual di kedai-kedai runcit.

Banyak bekalan dibuang atau diagihkan secara tidak seimbang, yang mana ada keluarga mendapat terlalu banyak pakaian tetapi makanan tidak mencukupi, manakala yang lain menerima terlalu banyak mi segera tanpa keperluan asas lain.

Rasa kebingungan dan kesedihan diburukkan lagi dengan tiadanya penguatkuasaan undang-undang dan perintah. Kecurian berlaku seolah perkara biasa di bandar-bandar. Mangsa tidak tahu pihak mana perlu dirujuk kerana balai polis dan dewan serbaguna juga dibanjiri.

Dalam sesi soal jawab, ada di kalangan hadirin menuduh pihak berkuasa tidak berusaha untuk menyelaraskan pengagihan bantuan. Ada yang mempersoalkan keikhlasan orang awam.

“Ada orang yang bukan mangsa tetapi menerima bantuan, termasuk ubat-ubatan dan ianya dijual. Agensi awam kekurangan integriti”, kata seorang aktivis dengan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Shanti Dairiam.

Seorang lagi aktivis dari NGO Suara Wanita (Women’s Voice), Dato’ Faridah Khalid berkata secara umumnya ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak berhasrat membantu mangsa banjir.

“Bencana alam seperti itu adalah satu peluang bagi mereka untuk menolak barangan lama atau terpakai, seperti bantal kotor, tilam buruk, baju buruk yang patut dibuang sahaja dan tidak boleh digunakan langsung,” kata Dato’ Faridah.

Turut hadir pada wacana itu Felo Kanan Bersekutu Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Prof Madya Dr Faridah Shahdan bersama pelajar-pelajar pasca siswazah pusat itu.
ukmnewsportal-bm