Wujudkan Sekolah Satu Aliran Jika Semua Kaum Dirujuk Dahulu – Bicara Persada

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto UKM Official

BANGI, 9 Okt 2015 – Para pemimpin semua komuniti di negara ini perlu duduk bersama untuk membincangkan pembentukan sekolah satu aliran.

Perlu ada semangat politik untuk sistem pendidikan dirombak supaya kepentingan semua kaum dapat dipenuhi, kata ahli panel untuk satu forum yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Sekolah satu aliran menawarkan perpaduan sebagai sebuah negara tanpa mengetepikan identiti budaya murid, kata seorang daripada ahli panel tersebut Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong dari Institut Kajian Etnik (KITA) pada siri ke-23 forum Bicara Persada bertajuk Sekolah Satu Aliran: Keperluan dan Kemungkinan.

“Sampai manasnya fikir rombak sistem untuk masyarakat, semua tujuh aliran (sekolah rendah) jadikan satu aliran.

“Saya tengok ada tujuh jenis; sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah swasta, sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan belajar sendiri.  Kita gabungkan amalan-amalan bestari, yang diakui sabjek sains dan matematik dalam sekolah janis kebangsaan (Cina) cukup baik.

“Sekolah agama pun ada amalan-amalan bestari, seperti ilmu tauhid dan Tajwid,”  katanya.

Teo berkata, daripada tujuh jenis sekolah yang ada, hanya tiga yang relevan dan perlu digabungkan menjadi satu sekolah aliran.

“Tiga jenis ini adalah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.

“Melalui tiga sekolah ini kita boleh kekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, bahasa Mandarin dan Tamil juga boleh diajar selain menghimpunkan subjek agama di sekolah ini,” katanya.

Anggota panel lain dalam forum tersebut ialah Mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah; Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial dan Pembangunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Sarjit Singh Gill.

Datuk Mohd Noor berkata pembentukan sekolah satu aliran sebenarnya tidak dilarang oleh perlembagaan persekutuan, sebaliknya piagam tersebut juga tidak menghalang kewujudan sekolah aliran lain.

“Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Di Malaysia ada kebebasan belajar dalam mana-mana bahasa pun. Bagaimanapun ada peruntukkan khas untuk sekolah Bahasa Melayu,” beliau menerangkan.

Dr Agus pula berkata perlu ada sekolah satu aliran untuk perpaduan kaum.

“Kalau kita betul-betul nak buat, boleh buat.

“Ini kerana sekolah satu aliran, kita tetap membenarkan semua bahasa digunakan di sekolah…biar budak Melayu boleh belajar bahasa Mandarin dan bahasa Tamil, inilah membentuk satu proses bersama.

“Saya rasa itu satu pengorbanan yang semua orang perlu buat, kita kena setuju dengan cadangan ini,” ujarnya.

Dr Agus sedar bahawa ibu bapa bukan Melayu tidak mahu hantar anak ke sekolah kebangsaan kerana tidak yakin dengan kualiti.

“Kalau itu halangannya, maka perbaiki, tambah prasarana.

“58 tahun Merdeka, kita tiada azam Merdeka. Untuk apa adakan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris),” tambah beliau.

Bagaimanapun Dr Sarjit Singh, yang menghantar anaknya ke sekolah antarabangsa, kurang yakin dengan sekolah satu aliran atau sistem yang seumpamanya, seperti sekolah wawasan.

“Saya tidak setuju dengan sekolah satu aliran kerana ia ada implikasi negatif terhadap parti pemerintah.

“Saya hilang keyakinan terhadap sekolah kebangsaan. Proses Pengislaman sedang berlaku sedangkan perkara-perkara lain diketepikan. Disiplin semakin teruk”, beliau menerangkan.

Beliau mempersoalkan tujuan wujudkan sekolah satu aliran.

“Apa salah etnik masing-masing guna bahasa sendiri? Adakah ia isu bahasa atau perpaduan,” beliau tanya.

 Forum ini dipengerusikan oleh Suhaimi Sulaiman dari Astro Awani.ukmnewsportal-bm

2

3