Pakar tenaga nuklear di UKM untuk bincang penggunannya

KHAMIS, 27 MEI 2010 15:48

Pakar  tenaga nuklear dari 14 buah negara akan menghadiri satu bengkel dua hari anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Tokyo Universiti (TODAI) mulai Isnin ini untuk membincangkan isu-isu bersangkutan penggunaan tenaga nuklear di Asean.

Bengkel itu akan memberi fokus terhadap beberapa pertimbangan penting dalam memperkenalkan tenaga nuklear di Asean. Satu persoalan yang akan dibincangkan ialah sama ada kerjasama serantau boleh menarik pembangunan tenaga itu.

Ia juga akan membincangkan persoalan bagaimana hendak menangani persepsi  salah masyarakat terhadap penggunaannya dengan memastikan mereka memperolehi maklumat betul terhadap soal keselamatan penjanaan elektrik  dari kuasa nuklear.

Seramai 33 orang pakar dari Vietnam, lndia, Kazakhstan, Mongolia, Amerika Syarikat, Switzerland, China, Taiwan,  Korea, Australia,  Singapura, Japan dan Malaysia akan menyertai bengkel itu. Ia akan diadakan di hotel Equatorial, Bangi.

Mereka ini terdiri dari negara yang samaada sudah memiliki  atau yang sedang merancang untuk memiliki teknologi nuklear dan akan juga membincangkan isu-isu seperti aspek perundangan, perjanjian membataskan penularan nuklear (non-proliferation treaty) dan pengurusan bahan buangannya.

UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia telah pun mencapai satu lagi kejayaan dalam  memajukan sains dan teknologi nuklear dengan memeterai satu Perjanjian Persefahaman (MOU) baru-baru ini dengan Korea Advanced Institute of Science and Technology dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia. Ia juga telah menjalin kerjasama rapat dengan Texas A&M University dan University Bordeaux Perancis, dua institusi terkenal mengenai penyelidikan nuklear di dunia.

UKM adalah satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan ijazah kepada mahasiswa dan pascasiswazah dalam bidang sains nuklear dan teknologi. Program Sains Nuklear di bawah Pusat Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM sudah pun mengeluarkan lebih daripada 900 siswazah ijazah Sarjana Muda Sains Nuklear dan lebih 30 Sarjana Sains (MSc) dan PhD yang mengkhusus dalam bidang sains nuklear dan teknologi.

Kerajaan Malaysia baru-baru ini telah pun mengumumkan akan memiliki sebuah loji tenaga nuklear yang akan beroperasi menjelang akhir tahun 2021 untuk menjana tenaga letrik.

Malaysia dan lain negara Asean yang merancang menggunakan nuklear sebagai tenaga tentunya akan mendapat faedah daripada bengkel yang menghimpunkan pakar-pakar nuklear dari seluruh dunia untuk membincangkan persoalan itu.