Kawasan pantai negara sepanjang 1,300km diancam hakisan teruk

ISNIN, 21 JUN 2010 17:30
Oleh Abdul Ghani Nasir

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Kawasan pantai sepanjang 1,300 kilometer atau 29 peratus daripada keseluruhan kawasan pantai negara sepanjang 4,800 kilometer didapati diancam masalah hakisan paling serius, kata Timbalan Ketua Setiausaha I, Kementerian Sumber Asli dan Persekitaran, Datuk Aziyah Mohamed hari ini.

Memandangkan hakikat ini Malaysia amat perlu mengetahui jangkaan kenaikan paras air laut  bagi membolehkannya merancang pembangunan tepi pantai selain menyesuaikannya dengan perubahan  cuaca.

Berucap merasmikan bengkel Panel AntaraKerajaan Mengenai Perubahan Cuaca (IPCC) di sini, beliau berkata ramalan dan jangkaan diperlukan segera bagi membolehkan negar a menaksir kesan masa depan kenaikan paras laut di samping kelestarian penempatan tepi pantai pada dekad-dekad akan datang.

IPCC melaporkan bahawa wujud tren peningkatan paras ombak di Laut China Selatan dan juga bahagian timur Laut Andaman di mana pantai Malaysia terkena impaknya secara langsung sejak 50 tahun lalu. Kenaikan paras ombak dijangka berpunca dari kegiatan ribut yang bertambah di rantau itu.

Datuk  Aziyah mewakili Menteri Sumber Asli dan Persekitaran Dato’Seri Douglas Unggah Embas di bengkel empat hari mengenai  kenaikan paras laut dan ketidakstabilan bungkah ais di Hotel Hilton di sini. Kira-kira 100 pakar cuaca dunia mengenai semua isu berkaitan kenaikan paras laut, termasuk bidang dinamik bungkah ais dan ketidakstabilannya menghadiri bengkel itu.

Datuk Aziyah berkata Kenaikan Paras Laut sendiri adalah satu isu yang begitu kompleks dengan pelbagai faktor menjadi puncanya termasuk pemanasan lautan, pencairan bungkah ais seperti di Greenland dan Antarctica, perubahan dalam peredaran air laut dan perubahan dalam simpanan air di daratan.

Malaysia sebagai negara maritim dengan 4,800 kilometer panjang pantai sudah tentu merasakan kesan Kenaikan Paras Laut sebagaimana dibuktikan oleh kajian Jabatan Parit dan Saliran itu.

Dalam ucapan aluannya, Naib Canselor,  Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata hasil kajian dan resolusi bengkel itu amat penting kepada Laporan Penilaian Kelima IPCC yang sedang berlangsung dan dijangka siap pada 2013.

Kajian terhadap Perubahan Cuaca, katanya, adalah satu daripada lapan nic penyelidikan UKM dan universiti itu mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi dengan institusi awam atau swasta baik dalam negara mahupun luar negara.

Beliau memuji Yayasan Sime Darby kerana mewujudkan Kerusi Perubahan Cuaca di UKM. Sime Darby mempunyai pelbagai kepentingan dan yayasan itu dengan murah hati menghadiahkan RM5 juta sebagai waqaf bagi UKM untuk merekrut saintis terkemuka  menjalankan penyelidikan mengenai perubahan cuaca.