60 Pelajar UKM Bantu Mangsa Banjir Kedah

ISNIN, 29 NOVEMBER 2010 13:18

Oleh Radzuan Ghazali 

Seramai 60 pelajar terdiri daripada sukarelawan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), pasukan SUKSIS (Polis DiRaja Malaysia) dan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berganding bahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir sempena Program Bantuan Banjir UKM di Negeri Kedah pada12 hingga 15 November 2010 lalu.

Program itu diketuai oleh Pengarahnya, Prof Dr Ismail Bahari dan Timbalan Pengarah, Leftenan Kolonel Jury Tasripan dan dilangsungkan di Kubang Pasu dan Pokok Sena.  Antaranya di Sekolah Kebangsaan Seri Muda, Alor Biak, Ayer Hitam dan Sekolah Seri Banai di Jitra dimana mereka telah membersihkannya dari lumpur.

Mereka juga telah membersihkan Masjid Bukit Baru, Bukit Hijau di Pokok Sena serta mengecatkannya semula. Seekor lembu korban sumbangan Naib Canselor UKM juga diserahkan bagi menyambut hari Raya Aidil Adha di masjid itu selain dari lima buah kipas yang disumbangkan oleh Prof Ismail sebagai Pengarah Pejabat Hubungan Universiti – Masyarakat.

Pasukan bantuan itu juga telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,000 hasil kutipan derma pihak UKM kepada beberapa keluarga mangsa termasuk adik Yusri Md Nor dari Kampung Bukit, adik Mohd Firdaus Azizan Hashim dari Kampung Mengkuang, Yahya Hassan, Shahidan Ali dan Omar Osman dari Kampung Baru.

Prof Ismail berpuas hati kerana UKM telah dapat memberikan bantuan kepada mangsa banjir hasil gabungan dan kerjasama daripada pihak PALAPES UKM, SUKSIS UKM dan kakitangan.

UKM, katanya, sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dari semasa ke semasa bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.