Anugerah antarabangsa untuk Prof. Dato’ Ir. Dr Hassan Basri

ISNIN, 16 OGOS 2010 15:53

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 16 Ogos, 2010 –  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), UKM, Prof. Dato’ Ir. Dr Hassan bin Basri, telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan gelaran “Profesor Cemerlang” oleh tiga Persatuan Antarabangsa.

Anugerah oleh Persatuan Pertubuhan Inovasi Antarabangsa (IAOI), Persidangan Antarabangsa mengenai Pertubuhan Inovasi (ICOI) dan Pertubuhan Jurnal Antarabangsa Inovasi (IJOI) telah disampaikan kepada beliau pada satu majlis di Universiti Siam, Bangkok  pada 4 Ogos lalu.

Anugerah  itu diberikan berdasarkan kepada sumbangan beliau selama beberapa tahun kepada IAOI dan siri persidangan dan jurnal ditaja oleh mereka, iaitu OCOI dan IJOI.

Ia juga diberikan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian Prof Hassan dalam kepemimpinan akademik, di UKM dan juga kepada kalangan pendidik kejuruteraan di Malaysia dan rantau ini.

Sebelum pelantikan semasa beliau, Prof Hassan pernah bertugas sebagai Dekan Kejuruteraan (2000 – 2007), Ketua Kejuruteraan Awam (1996-2000), Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Inovasi (2007-2009) dan Pengarah Pusat Perancangan Korporat dan Perhubungan (Februari-Ogos 2008).

Sebagai Pengerusi kedua-dua Majlis Akreditasi Kejuruteraan dan Majlis Dekan Kejuruteraan Malaysia , Prof Hassan memainkan peranan penting dalam transformasi pendidikan kejuruteraan di Malaysia.

Ini adalah penting untuk mendapatkan penyertaan Malaysia dalam Washington Accord, iaitu perjanjian antarabangsa paling berprestij untuk pengiktirafan bersama dalam akrediatasi program ijazah kejuruteraan.

Ketika ditemui baru-baru ini, Prof Hassan yang merupakan warga Malaysia yang pertama menerima anugerah itu berkata: “Saya berasa amat rendah diri diberikan anugerah sebegini tetapi pada masa yang sama berbangga menaikkan nama UKM di persada antarabangsa.”