UKM banyak menyumbang kepada keperluan modal insan negara

ISNIN, 09 OGOS 2010 18:05

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI,  9 Ogos, 2010 –  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya bukan sahaja dalam memartabatkan bahasa Kebangsaan menjadi bahasa Ilmu dan rujukan intelektual tetapi memberikan sumbangan berterusan kepada pengajian tinggi terutama dalam menyediakan modal insan.

Prof Tan Sri Dato’ Dr  Abdul Shukor Hj Husin, mantan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata: “Apabila saya diminta untuk bertugas di USIM pada 1999 sebagai Naib Canselor, harapan, perhatian dan sokongan yang saya perlukan bagi menjayakan universiti baru ini, tertumpu kepada rakan-rakan daripada UKM.

“Malah sehingga hari ini, peneraju-peneraju penting di USIM adalah terdiri daripada tenaga UKM.  Di kesempatan ini saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tan Sri Naib Canselor dan seluruh kakitangan akademik yang sudi membantu USIM sehingga USIM lahir dalam bentuk yang ada sekarang.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan penerimaan anugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengajian Islam) pada Majlis Konvokesyen UKM ke-38 di sini hari ini.

Penganugerahan itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM.

Prof Dr Shukor berkata beliau amat berbangga anugerah ini datangnya dari sebuah Institusi Pengajian Tinggi Negara yang berprestij dan tersohor di peringkat tempatan dan global. “Saya rasa amat berbangga kerana universiti ini  telah mencapai tahap kejayaan yang sangat cemerlang.”

Beliau turut menggesa para graduan UKM agar meneruskan usaha bagi mencari ilmu pengetahuan serta pengalaman dan kemahiran sehingga ke akhir hayat.

“Nabi kita Muhammad S.A.W telah menekankan perkara ini. Mulakanlah kehidupan dengan mencari ilmu (iqra) dan teruskanlah semangat iqra itu sehingga akhir hayat,” katanya.

Sebelum itu, ketika menyampaikan pidato umum penganugerahan itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Prof. Dr Mohd Nasran bin Mohamad, berkata pada tahun 1970, Dr Shukor berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian di Fakulti Usuluddin, UKM.

Pada 1971, beliau berjaya mendapat Diploma Pendidikan dari Universiti Ain Shams, Kaherah. Selepas itu pada tahun 1973 beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam dari Universiti al-Azhar.

Pada tahun 1984, beliau berjaya mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam. Beliau merupakan anak Melayu pertama lulus dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam dari al-Azhar.

Selepas beliau menamatkan khidmat sebagai Naib Canselor USIM, khidmatnya terus diperlukan. Pada masa ini, beliau mengetuai Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) disamping tugasnya sebagai  Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dibawah Majlis Raja-Raja.

Disamping dua tugas yang besar ini, beliau juga terus menabur khidmat di dalam beberapa jawatankuasa penting di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya Ahli Majlis Kebangsaan Islam, JAKIM; Ahli Majlis Agama Islam & Adat Resam Melayu Pahang; Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji; Timbalan Pengerusi Akademik Fiqh Sedunia yang beribu pejabat di Arab Saudi dan sekaligus merupakan wakil Malaysia di badan tersebut.