80 Angkasawan akan turun di UKM esok

SELASA, 05 OKTOBER 2010 17:00

Oleh Shahfizal Musa

BANGI, 5 Okt. 2010 – Seramai 80 orang Angkasawan dari 35 buah negara akan berada di UKM esok menghadiri satu sesi teknikal untuk membincangkan Program Angkasa Antarabangsa .

Upacara anjuran Institut Sains Angkasa (ANGKASA) UKM dengan kerjasama Persatuan Peneroka Angkasalepas (ASE) adalah sebahgian daripada acara Kongressnya yang ke23 yang sedang berlangsung di Malaysia.

Para angkasawan itu akan memberi ceramah dan berkongsi pengalaman mereka bersama para pelajar UKM dan pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi lain.  Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah akan merasmikan majlis itu.

Seramai lima orang daripada mereka akan terus berada di kampus UKM kesokannya (hari Khamis) untuk menghadiri hari komuniti di Bangi manakala angkasawan yang lainnya akan diagehkan ke beberapa Institusi Pengajian Tinggi lain di seluruh negara untuk berkongsi  pengalaman  dengan masyarakat setempat.

Lima angkasawan yang akan hadir pada hari komuniti di UKM adalah Putera Sultan Al- Saud angkasawan Islam pertama, Dato’ Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie angkasawan Malaysia , Leonov Alexie dari Rusia, Liwei Yang (China) dan Soyeon Yi (Korea).

Hari komuniti itu adalah untuk memberi peluang kepada murid sekolah berdekatan menimba pengalaman para angkasawan.  Diharapkan pengalaman mereka itu akan menguatkan semangat dan keyakinan diri murid-murid itu untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi kiranya mempunyai keyakinan diri.

Antara aktiviti yang akan di adakan adalah pelbagai ceramah motivasi, sesi soal jawab dan pameran.

UKM dipilih untuk mengadakan dua program daripada kesuluruhan upacara Kongress ASE yang bermula semalam hingga Ahad nanti (10 Okt).

Tema perhimpunan ASE tahun ini adalah “Satu Planet, Satu Harapan, Satu Masa Depan”. Antara matlamatnya adalah membincang dan mencari jalan penyelesaian kepada persoalan pemanasan global yang semakin meruncing.