Perisian Komputer Rekaan Warga UKM Mendapat Sambutan Dunia

SELASA, 24 APRIL 2012 00:00

JetP1

Oleh Shamsul Bahari Kamaruddin
Foto Shamsul Bahari Kamaruddin

BANGI, 24 April 2012 – Sebuah perisian komputer rekaan seorang pegawai perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memantau langganan jurnal elektronik dalam perpustakaan semakin mendapat sambutan dunia.

Jurnal Elektronik Teks Penuh (JetP) kini telah menarik perhatian daripada pakar kaji selidik di Britain dan Jerman serta beberapa negara Eropah lain.

JetP dicipta Shamsuddin Ibrahim ketika berkhidmat di Perpustakaan Tun Seri Lanang sebagai pustakawan kanan. Kini semakin ramai penyelidik di Eropah dan Asia mencuba JetP untuk mengakses maklumat di perpustakaan UKM.

Sehingga kini JetP telah menerima berbagai anugerah ciptaan termasuk menerima Hadiah Inovasi UKM berjumlah RM100,000, tempat kedua Anugerah Inovasi Kementerian Pengajian Tinggi serta juga tempat kedua Anugerah Perhimpunan Inovasi dan Penciptaan Perpustakaan Malaysia serta memasuki peringkat akhir Anugerah Inovasi Kebangsaan semuanya pada tahun lalu.

Ia telah disenarai pendek untuk menerima anugerah Inovasi UKM 2012.

Walaupun penerangan mengenai JetP kurang dihebahkan di luar negara, pengunaannya meningkat kerana telah mendapat pujian daripada mereka yang mencubanya pada peringkat awal.

Kini hampir semua perpustakaan IPTA tempatan menguna perisian itu pada peringkat percubaan.

Sejumlah 24 buah pangkalan data jurnal elektronik telah di sediakan dalam JetP. Ia dibangunkan dengan mengguna perisian sumber terbuka tanpa kos pembangunan dan dengan itu telah menjimatkan belanja RM100,000 kiranya ia dibangunkan oleh syarikat luar.

Ia memudahkan UKM kerana pengguna tidak perlu melanggan produk dari luar negara.

Pengguna yang berdaftar dengan mana-mana perpustakaan yang menguna perisian itu boleh berlanggan dengan JetP. Mereka yang tidak berdaftar dengan perpustakaan perlu berlanggan terus dengan JetP dengan membayar yuran.

UKM telah pun menubuhkan Syarikat Refrex untuk memasar produk itu dengan melantik Shamsuddin sebagai pakar perunding produk. Faizal Yusof dari Syarikat Refrex berkata perisian itu bukan sahaja membolehkan carian dibuat dengan lebih pantas tetapi juga mengurangkan duplikat. Ciri ini didapati amat berguna kerana banyak universiti mempunyai maklumat dari jurnal yang sama.

JetP juga didapati mempunyai ciri yang lebih daripada perisian pesaingnya yang terdekat, ia itu “A to Z” dari Amerika Syarikat yang juga lebih mahal, kata Faizal.

Bagaimana pun Refrex belum memutuskan kadar bayaran yuran untuk melanggani perisian itu. Pendapatan darinya dijangka akan meningkat apabila pengunaan sepenuhnya perisian itu dilaksanakan.

Penggunaan JetP dijangka berjaya menjimatkan kos sejumlah RM30,000 setahun kepada UKM.

Perisian computer itu dilancarkan pada 2010 dan sejak itu ia terus diperbaiki. Versi JetP 2.0 yang berjaya mengurangkan jangka masa carian kepada hanya dua minit dari 25 minit oleh versi asal sudah pun diwujudkan.