Tocotrienol Sejenis Vitamin E Dari Minyak Sawit Boleh Menyembuh Osteoporosis

ISNIN, 09 APRIL 2012 16:22 ADMINISTRATOR

By Shahfizal Musa
Pix Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR,  9 April 2012 – Penyelidik UKM telah mendapati bahawa sejenis bahan vitamin E dari minyak kelapa sawit, tocotrienol, boleh menguatkan tulang yang rapuh dan dengan itu dapat menyembuhkan penyakit osteoporosis.

Penemuan itu dibuat oleh Prof Dr Ima Nirwana Soelaiman dan pasukan penyelidiknya Prof Madya Dr Norazlina Mohamed, Prof Madya Dr Ahmad Nazrun Shuid dan Dr Norliza Muhammad dari Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) setelah menjalani beberapa kajian komprehensif.

Prof Ima, Ketua Kumpulan Penyelidik Metabolisme Tulang, berkata “kajian terperinci ke atas binatang menunjukkan bahawa tocotrienol mampu memperbaiki struktur tulang yang mengalami osteoporosis dan mengembalikannya kepada keadaan asal.”

Kajian itu juga menunjukkan selain dari menyembuhkan osteoporosis, tocotrienol boleh mencegah berlakunya osteoporosis.

Kajian yang dijalankan selama 15 tahun telah memberi hasil konsisten setiap kali iaitu, tocotrienol dapat menyembuh dan mencegah osteoporosis.

Prof Ima telah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa, seperti pingat emas dan hadiah merit di Ekspo Pencipta dan Produk Baru tahun 2008 di Pennsylvania, Amerika Syarikat (Invention and New Product Exposition – INPEX2008) dan pingat emas dengan merit di Pameran Pencipta, Cara Baru dan Produk Antarabangsa ke 34 di Geneva, Switzerland 2006 (34th International Exhibition of Inventions, New Techniques and Products, Geneva, Switzerland, 2006).

Beliau juga telah menerbitkan hampir 80 artikel ilmiah dalam jurnal terindeks, yang mana setengah darinya adalah mengenai vitamin E dan tulang.

Tocotrienol adalah sejenis vitamin E yang terhasil dari minyak sawit. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini tocotrienol telah mendapat pengiktirafan sebagai antioksidan yang kuat yang boleh melindungi membran sel dan DNA dari kerosakan yang di sebabkan oleh radikal bebas.

Radikal bebas terhasil apabila oksigen ditukarkan kepada tenaga untuk badan manusia. Sebagai antioksidan tocotrienol boleh mencegah kerosakan sel.

Jadi pesakit osteoporosis yang mempunyai komponen oksidan yang kuat boleh mendapat manfaat dari tocotrienol.


Memahami Osteoporosis

Tulang terbentuk dengan kerangka luar yang kuat di mana terdapat kolagen (fiber elastik yang lasak), mineral (termasuk kalsium), saluran darah dan sum sum. Rangkaian ini adalah seperti sarang lebah yang dipenuhi kompartmen kecil dan ruang kosong di antara setiap bahagian.

Tulang yang sihat adalah padat dan ruang-ruang kosong di dalam tulang sangat kecil. Tetapi bagi tulang yang mengalami osteoporosis ruang kosong adalah lebih besar. Ini membuat tulang menjadi lemah dan kurang elastik dan lebih mudah patah.

Walau bagaimanapun tulang adalah suatu tisu yang hidup yang boleh membaik pulih dengan sendiri. Proses ini dikenali sebagai kadar tukar ganti tulang.

Terdapat sel yang menghapuskan tulang yang lama (osteoclasts) dan sel yang membina tulang baru (osteoblasts). Tulang menjadi rapuh apabila aktiviti osteoclast melebihi aktiviti osteoblast.

Ini menyebabkan tulang mengalami keadaan kurang padat kerana kadar tulang terhapus adalah lebih cepat daripada kadar tulang yang di ganti. Ini boleh menyebabkan berlakunya keretakan tulang biasanya tulang belakang, pergelangan tangan dan tulang pinggul walau pun ia boleh juga berlaku di tangan atau pelvis.

Keretakan tulang dan tulang patah adalah suatu masalah besar kepada pesakit osteoporosis. Ini adalah kerana penyembuhannya akan mengambil masa yang lama dan berkemungkinan pula tidak akan sembuh dengan sempurna.

Pesakit osteoporosis yang patah tulang akan terpaksa bergantung pada orang lain untuk aktiviti yang mudah seperti mahu ke bilik air.

Golongan berisiko

Hormon yang tidak seimbang adalah punca utama osteoporosis. Dan wanita berisiko lebih empat kali ganda daripada lelaki untuk mendapat osteoporosis.

Apabila wanita putus haid pengeluaran estrogen mereka akan turun dengan mendadak menyebabkan kerapuhan tulang dan ini akan menyebabkan osteoporosis. Wanita yang sememangnya mempunyai tulang yang kurang padat sebelum putus haid lebih cenderung untuk mendapat osteoporosis. Tocotrienol boleh mencegah ini daripada berlaku.

Lelaki juga tidak bebas dari mengalami osteoporosis danlebih cenderong mendapatnya apabila kehilangan testosterone.

Masalah ini timbul apabila bagi kaum lelaki yang lanjut usia atau pun mereka yang mengalami masalah buah zakar seperti tumor testis yang memerlukan buah zakar mereka dibuang. Kehilangan buah zakar boleh mengurangkan testosterone dari badan dan membawa kepada osteoporosis .

Pesakit asthma, artritis dan kanser yang dirawat dengan steroid boleh juga mengalami osteoporosis sebagai kesan sampingan.

Kajian oleh Prof Ima menunjukkan tocotrienol mampu menyembuhkan osteoporosis disebabkan pengambilan steroid.

Nikotin yang terdapat dalam rokok juga merupakan salah satu faktor risiko yang boleh menyebabkan osteoporosis.

Perokok tegar selalunya mempunyai keronggaan tulang yang lebih daripada mereka yang tidak merokok. Kajian yang dilakukan Prof Ima dan pasukannya mendapati bahawa tocotrienol juga boleh menyembuhkan osteoporosis itu dan mengembalikan tulang seperti sedia kala, apabila perokok berhenti merokok.

Kajian tambahan beliau dan pasukannya telah mendapati tocotrienol juga mempertingkatkan struktur dan kekuatan tulang yang normal. Ini menandakan tocotrienol mampu menambahkan kepadatan tulang. Kepadatan tulang boleh mengurangkan risiko mengalami osteoporosis.

Kajian terkini beliau telah menunjukkan tocotrienol juga mempercepatkan proses penyembuhan pesakit osteoporosis yang mengalami tulang patah. – Portal Berita UKM

Prof Ima Nirwana Soelaiman boleh di hubungi di imasoel@medic.ukm.my, imasoel@yahoo.com