Kerjasama Industri Dan Sains Memupuk Keusahawanan

JUMAAT, 07 DISEMBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 5 Dis, 2012 – Kerjasama industri dan sains untuk memajukan keusahawanan telah menjadikan Keusahawanan Akademik (AE) semakin ketara dalam usaha melonjak universiti penyelidikan meningkatkan kekayaan dalam sesebuah negara.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dato’ Dr Rahmah Mohamed berkata tumpuan yang semakin menyerlah ini adalah suatu usaha baru untuk institusi pengajian tinggi.

Prof Rahmah berkata demikian ketika merasmikan Persidangan ke 9 Persatuan Universiti Asia dan Pasifik (AUAP) atas tema Menyingkap Tirai Kekayaan Universiti: Keusahawanan Akademik di sini hari ini. Prof Rahmah telah mewakili Naib Canselor Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Beliau berkata sebelum wujudnya Keusahawanan Akademik (AE), idea, ciptaan dan inovasi cendekiawan hanya diterbitkan dalam laporan penyelidikan, kertas projek atau dalam jurnal akademik. Tidak ramai dalam industri tahu mengenai penemuan dan kecemerlangan idea mereka serta potensinya untuk mengeluarkan produk dan penyediaan khidmat terbaik.

Pengetahuan manusia dan teknologi sentiasanya menjadi teras kepada pembangunan ekonomi. Dengan itu kemunculan K-ekonomi atau ekonomi berasaskan pengetahuan telah menemukan pihak akademik dengan industri untuk bekerjasama dalam usaha demikian, kata Prof Rahmah.

Beliau menyifatkan AE sebagai suatu perubahan besar yang melengkapi dua peranan tradisi pendidikan tinggi iaitu pembelajaran dan penemuan akademik hasil penyelidikan. Bagaimana pun kewujudan AE tidak pula menjejaskan peranan itu malah telah membawa kepada peningkatannya melalui perkongsian manfaat kewangan daripada inisiatif pengkomersilan.

Peranan tradisi itu telah menjadi kunci kepada inovasi sebagai penjana modal dan tapak semaian syarikat-syarikat baru.

 

Beliau menerangkan berbagai universiti telah pun menubuhkan firma baru sebagai pelancar untuk memenuhi kehendak masyarakat yang mahukan peningkatan ekonomi.

Prof Rahmah berharap AUAP akan terus berperanan sebagai gelanggang untuk ahlinya membincang pelbagai isu yang dihadapi pengajian tinggi.

Sejumlah 25 kertas penyelidikan dan cadangan telah dibentangkan dalam persidangan itu termasuk dari Malaysia dan anggota ASEAN, China, India, Emiriyah Arab Bersatu, Jepun, Korea Selatan, Britain, Amerika Syarikat serta beberapa negara lain.

AUAP diasaskan berikutan suatu Memorandum Persetujuan yang ditandatangani pada 1995 diikuti persidangan pertamanya di Suranaree University of Technology (SUT), Negeri Thai. Persidangan sebelum ini berlangsung di Bangladesh pada 2008.