Kod Perlindungan Pengguna Perlu Untuk Menghalang Bank Menetapkan Syarat Pinjaman Berat Sebelah

JUMAAT, 28 DISEMBER 2012 10:48
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Izwan Azman

BANGI, 27 Dec 2012 – Kod Perlindungan Pengguna harus diadakan untuk menghadapi ketidakadilan yang wujud sekarang di mana institusi kewangan dibenar menetapkan syarat tidak seimbang kepada pengguna terutama bila mengambil pinjaman sewa beli.

Satu forum yang membincangkan perkhidmatan kewangan dan pengguna di sini minggu lalu sebulat suara merumuskan bahawa di Malaysia kontrak pinjaman terlalu memihak kepada institusi kewangan, terutamanya syarat yang memberikan bank hak untuk mengubah syarat pinjaman termasuk Kadar Pinjaman Asas.

Forum anjuran Fakulti Undang-Undang (FUU) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bersetuju peminjam diperdaya oleh Kontrak Pinjaman Perumahan dan pinjaman lain seperti kereta dan kad kredit.

Ketiga orang ahli panel sependapat bahawa undang-undang untuk melindungi hak pelanggan perbankan seperti dalam sektor-sektor lain sangat diperlukan sekarang. Forum itu dipengerusikan oleh pensyarah kanan FUU Dr Anwar Zahid.

Ahli panel terdiri dari Haji Mustapha Hamat, seorang akauntan dan Felo Akademik Ulung Institut Perbankan Islam dan Kewangan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA);Profesor Dato’ Dr Sothi Rachagan,Naib Presiden Hal Ehwal Akademik Nilai University College dan Pradeep Singh Mehta, aktivis hak pengguna dan Setiausaha Agung Persatuan Perpaduan Pengguna dan Amanah (CUTS) di India

Haji Mustapha menuduh bank tempatan “sombong, bongkak dan tidak berperikemanusiaan” dan berkata adalah Harambagi bank menyembunyikan yuran dan caj yang merekakenakan ke atas pelanggan.

Profesor Sothi mengesyorkan suatu akta yang boleh mengenal pasti syarat kontrak yang tidak adil diwujudkan, seperti yang terdapat di United Kingdom dan India. Akta demikian boleh membatalkan kontrak yang mempunyai syarat atau terma diisytiharkan tidak adil.

Beliau berkata bahawa walaupun kos tertentu mungkin dianggap sah, ia tidak dibenarkan jika bayaran yang dikenakan didapati keterlaluan. Akta demikian amat diperlukan untuk melindungi pengguna Malaysia, katanya.

Pinjaman perumahan atau perjanjian kad kredit pada asasnya digubal dengan tujuan memastikan risiko dan kos ditanggung oleh peminjam.


Prof Sothi berkata bagi kebanyakan peminjam, faktor utama untuk mengambil pinjaman perumahan dari bank tertentu adalah kadar faedah yang dikenakan. Oleh kerana kadar faedah adalah teras kepada perjanjian, bank tidak harus dibenarkan menukar kadarnya sesuka-hati. Umumnya satu pihak sahaja tidak berhak meminda terma perjanjian bagi apa pun kontrak.

Beliau berkata ketidakadilan terletak dengan undang-undang asas. Perkhidmatan kewangan tidak tertakluk kepada Akta Perlindungan Pengguna seperti urus niaga yang lain di Malaysia. Mengambil pinjaman tertakluk kepada Undang-Undang Kontrak, yang biasanya berat sebelah.

Beliau menasihati siswazah supaya tidak menggunakan kad kredit sehingga mereka sudah mempunyai kerjaya yang stabil. Masalah hutang di kalangan pelajar semakin menjadi bebanan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna meramalkan kira-kira 50,000 pelajar akan muflis menjelang tahun 2020.

Pradeep Singh Mehta pula berkata usaha menghendaki pengguna menandatangani kontrak yang memberikan bank budi bicara untuk meminda apa-apa terma yang sudah dipersetujuiadalah tidak adil. Namun keadaan beginilah yang dihadapi pengguna apabila mereka menandatangani perjanjian pinjaman perumahan dari bank.

Terdapat peruntukan yangmemberi kebebasan kepada bank mengubah kadar faedah mereka pada bila-bila masa. Peminjam tiada hak membantah perubahan yang dibuat itu.

Mehta memberi contoh satu syarat tidak seimbang yang terdapat dalam suatu kontrak dengan sebuah bank tempatan;

Seperti yang dinyatakan dalam item 3 Surat Tawaran ini “sentiasa tertakluk kepada budi bicara mutlak Bank untuk mengubah kadar dari semasa ke semasa sama ada dengan mengubah Kadar Pinjaman Asas Bank (BLR) dan/atau purata melebihi BLR atau sebaliknya atau menurut kepada item 14 (d) dalam Surat Tawaran “

Sebuah lagi bank tempatan mempunyai syarat demikian yang agak serupa;

“…. Mengenakan syarat tambahan, meminda apa-apa terma dan syarat yang mengawal kemudahan bil dan menyemak/ mengubah kadar faedah dan caj lain dari masa ke semasa mengikut budi bicara mutlak Bank”.

Biasanya syarat-syarat demikian tidak ditekankan kepada peminjam kerana mereka menganggap satu-satunya cara kadar faedah diubah adalah jika BLR berubah dan tidak dengan apa-apa cara lain.

Mehta percaya masalah pokok untuk pengguna adalah mereka kurang arif mengenai undang-undang yang membolehkan bank mengenakan syarat. Selain itu terdapat pula sikap acuh tak acuh di kalangan orang awam yang hanya mahu mendapatkan pinjaman.

Beliau adalah salah seorang penggerak utama pembaharuan undang-undang pengguna di India dan menjadi penasihat kepada beberapa kerajaan Komanwel mengenai semakan undang-undang kewangan.

Beliau menerangkan bahawa India beberapa tahun lalutelah meminda undang-undang yang sebelum itu membenarkan pemiutang mengganggu penghutang sehingga menjatuhkan air muka mereka di khalayak ramai.

Ahli-ahli panel juga mengambil perhatian bahawa Malaysia mempunyai Undang-undang Kebankrapan antara yang paling ketat di dunia. Sejak tahun 2005, 250,000 kes muflis telah dicatat.