Reka Bentuk Kereta Berkerusi Roda UKM Menjuarai Pertandingan AMDC

KHAMIS, 16 FEBRUARI 2012 09:29

Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Shahiddan Saidi

SHAH ALAM, 14 Feb. 2011 –Reka bentuk tiga dimensi sebuah kereta berkerusi roda oleh satu pasukan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjuarai Pertandingan Rekabentuk Autodesk Malaysia (AMDC) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Pasukan dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina itu terdiri dari Muhammad Syafiq Megat Jiwa, Muhammad Syakir Zahar Azlan dan Muhammad Waseem Abdullah dengan seorang penasihat Mohd Faizal Mat Tahir, seorang warga Fakulti.

Pasukan itu telah merekabentuk kereta konsep yang diberi nama Car4u. Ia memaparkan sebuah kereta dilengkapi tanjakan pada bahagian belakang untuk memudahkan orang berkerusi roda masuk.

Kereta itu yang menggunakan tenaga solar juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan. Rekabentuk itu menerima hadiah wang tunai RM4500.

Rekaan itu turut memenangi tempat pertama dalam kategori WHIZZ Advanced Manufacturing and Product dan juga menerima hadiah wang tunai RM4500. Dengan itu pasukan itu telah meraih hadiah sejumlah RM9000.

Satu lagi pasukan dari UKM telah memenangi tempat kedua dalam kategori WHIZZ Advanced Manufacturing and Product Category itu. Ia adalah rekabentuk ‘solar golf converter’ sebuah kereta buggy membawa pemain golf menggunakan kuasa solar. Reka bentuk itu menerima hadiah wang tunai RM3000.

Reka bentuk Car4U menunjukkan keprihatinan terhadap persekitaran dan adalah suatu usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi orang kelainan upaya. Ia menyediakan penyelesaian yang kreatif dan boleh merapatkan jurang antara kebolehan orang biasa dengan mereka yang cacat.

Kumpulan yang mereka ‘solar golf converter’ pula terdiri dari Neo Rong Gen, Wee San Yee dan Chin Zu Yie. Mereka di bimbing oleh Professor Madya Dr Nowshad Amin.

Hadiah telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin. Pertandingan itu dianjurkan bersama oleh Prestariang Systems Sdn Bhd dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Hadiah-hadiah juga disampaikan kepada instutusi yang mempunyai penyertaan terbanyak. Tempat pertama di menangi oleh Universiti Teknologi Malaysia yang mengirim sejumlah 15 penyertaan. Tempat kedua jatuh kepada Politeknik Merlimau dengan sembilan Penyertaan dan Kolej Komuniti Kuala Langat dengan tujuh penyertaan jatuh ke tempat ketiga.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Shahabudin, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa, wakil institusi-institusi pengajian tinggi dan KPT serta Prestariang turut hadir di upacara penyampaian hadiah itu.