Universiti Malaya Juara Debat 1 Malaysia

RABU, 01 FEBRUARI 2012 17:25

debat 1

Oleh Nastura Nasir
Foto oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Feb. 2012 – Pasukan dari Universiti Malaya (UM) telah menjuarai Debat 1 Malaysia dengan mengalahkan pasukan daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada pertandingan akhir di Dewan Tun Abdullah Salleh, di kampus UKM di sini semalam.

Pendebat dari UM, Muhammad Azzairi, pelajar tahun 4, Jurusan Undang-undang turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik bagi kejuaraan kali ini.

Pasukan UM membawa pulang Piala Pusingan, Piala Iringan, cenderamata, sijil dan wang tunai RM5000 manakal UMT menerima piala iringan, sijil dan wang tunai RM3000.

Pasukan UKM hanya berjaya ke peringkat suku akhir dan kecundang kepada pasukan Universiti Multimedia yang mara ke separuh akhir.

Perdebatan bermula sejak minggu lalu dengan disertai 21 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Setiap pasukan perlu melalui sebanyak enam kali pusingan saringan sebelum layak ke peringkat suku akhir.

Pertandingan akhir turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Abdul Rahim bin Md. Noor; Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Ir Dr Othman A Karim, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar) UM, Prof Datuk Dr Rohana Yusof, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar) UMT, Prof Dr Yahya Ibrahim, dan Setiausaha Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia, Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman.

Ini adalah tahun kedua berturut-turut UKM menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Debat 1 Malaysia ini semenjak ia mula diadakan tahun lalu.

Prof Othman berkata meskipun pasukan UKM hanya berjaya sampai ke peringkat suku akhir, UKM berbangga dan sentiasa menggalakkan mahasiswanya bergiat aktif dalam perdebatan.

UKM telah menjadi perintis dalam memperkenalkan semula sudut pidato sebagai satu platform kepada seni perucapan umum pada Januari 2010 selepas hampir tiga dekad sudut pidato diharamkan di Institusi Pengajian Tinggi seluruh Malaysia.