2,513 Calon Ditawarkan Tempat Untuk Pengajian Prasiswazah di UKM Bagi Sesi 2012-2013

JUMAAT, 13 JULAI 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 13 Julai 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menawarkan sejumlah 2,513 tempat kepada calon lulusan STPM/Matrik untuk kemasukan ke program pengajian prasiswazahnya bagi sesi 2012-2013. Enam puluh% daripada mereka adalah wanita.

Suatu kenyataannya hari ini berkata daripada jumlah calon yang ditawarkan itu, seramai 861 daripada mereka memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) maksimum 4.00.

UKM telah menawarkan sejumlah 73 program terdiri dari 50  Aliran Sains dan 23 Aliran Sastera.

UKM bersama dengan Universiti Penyelidikan yang lain telah diberi autonomi dalam melaksanakan pengambilan dan pemilihan kemasukan pelajar prasiswazah untuk tahun kemasukan kali ini.

Bagaimana pun pelaksanaannya masih mengekalkan kaedah pengambilan secara berpusat menerusi penyelarasan bersama Bahagian Pengambilan dan Kemasukan Pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi.

Calon-calon  yang berjaya diterima masuk ke Program Prasiswazah adalah calon-calon yang memenuhi kelayakan kemasukan (syarat am dan syarat khas program) yang diluluskan Senat Universiti.

Pemohon boleh menyemak status keputusan permohonan mereka mulai jam 12.00 tengah hari, Jumaat 13 Julai 2012.

Calon dikehendaki menyemak maklumat tawaran dan boleh mencetak surat tawaran rasmi melalui Infoline UKM di alamat web  www.ukm.my/kemasukan/tawaran.

Semua calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan penerimaan tawaran kepada mereka dalam tempoh 7 hari bekerja iaitu pada atau sebelum 20 Julai nanti.

Tarikh pendaftaran pelajar baharu itu ialah pada  hari Ahad 2 September mulai jam 9 pagi hingga 12 tengahari.