Al-Quran Sebagai Panduan Penemuan Sains

JUMAAT, 01 JUN 2012 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi 

BANGI, 1 Jun 2012 – Terdapat banyak ayat Al-Quran yang mengesahkan penemuan sains dan boleh pula membantu penemuan baru yang masih belum diterokai, kata seorang cendiakawan dari Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah dari Jabatan Al-Quran dan Sunah berkata terdapat ayat-ayat yang memberi keterangan mengenai sains termasuk mengenai bintang serta kedudukan matahari sebagai pusat dunia di cakerawala. Bagaimana pun Al-Quran bukanlah suatu kitab sains bahkan ia adalah sebuah kitab petunjuk.

Beliau berucap dalam satu pembentangan di Seminar Al-Quran dan Sains yang dianjurkan oleh Pusat Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM di sini.

Seorang saintis yang mahu membongkar rahsia sains di dalam Al-Quran perlu mempunyai beberapa ciri seperti memahami Al-Quran, mendirikan solat dan menginfakkan harta ke jalan fisabillillah.

Al-Quran, kata Dr Wan Nasyrudin, adalah suatu mukjizat linguistik yang diturunkan kepada nabi Muhammad (SAW) yang masih wujud hingga hari ini.

Ini berbanding dengan mukjizat-mujizat yang diberikan kepada nabi-nabi lain seperti Musa dan Isa dengan mukjizat mereka yang boleh di alami hanya pada zaman mereka. Pada hal Al-Quran kini terus wujud.

Bahasa Al-Quran adalah sangat tepat dan untuk membongkar rahsia sains yang terdapat dalamnya seseorang itu perlu memahami bahasa Al-Quran.

Ia bukanlah semudah memahami terjemahannya sahaja tetapi Al-Quran harus di kaji dalam bahasa asalnya, bahasa Arab, tambah beliau. Menggunakan terjemahannya sahaja tidak memadai dan tidak akan mencapai maksud yang dituju, kata Dr Wan Nasyrudin.

Banyak kebenaran sains terdapat dalam Al-Quran yang hanya diketahui setelah penemuan sains moden mengesahkan fakta yang disebutnya.

Ini tidak sepatutnya berlaku dan Al-Quran seharusnya menjadi petunjuk kepada penemuan dan menerajui penemuan saintifik, kata Dr Wan Nasyrudin.

Beliau menerangkan bahawa terdapat sebanyak 700 ayat di dalam Al-Quran yang memperkatakan soal sains. Di samping itu hampir separuh dari Al-Quran yang mengandungi cerita dan pengajaran yang juga mengandungi kebenaran sains tersembunyi di dalam cerita tersebut.

Para saintis patut merujuk kepada Al-Quran untuk membuat penemuan baru kerana Al-Quran telah terbukti selari dengan sains moden.

Walau bagaimanapun dalam mencari penemuan baru berpandukan Al-Quran sains harus dilihat dari kaca mata Al-Quran dan bukan sebaliknya. Jika terdapat fakta sains yang kelihatan bercanggah dengan Al-Quran, para saintis perlu mengkaji dengan lebih mendalam, kerana penemuan itu tentunya tidak tepat.

Beliau memberikan satu contoh di mana bulan telah sekian lama di anggap mempunyai cahayanya sendiri. Namun Al-Quran sejak azali telah menerangkan bulan memantulkan cahaya.

Kini apa yang terdapat dalam Al-Quran itu didapati benar apabila saintis membuat penemuan baru yang membuktikan bulan sememangnya memantulkan cahaya matahari dan tidak mempunyai cahayanya sendiri.

Seminar itu di Pengerusikan Prof Madya Dr Muhammad Samudi Yasir dari Pusat Pengajian Fizik Gunaan, FST. Turut hadir ialah para saintis dan pelajar.