MOU Untuk Meningkatkan Kecerdasan Pelajar PermataPintar

SELASA, 22 MEI 2012 17:48

Oleh Ikmal Ismail

NEW YORK, 16 Mei 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menandatangani memorandam kesefahaman (MoU) dengan Akademi Sains New York (NYAS) untuk menempa satu pakatan menanam pemikiran mahu berjaya ke peringkat terbaik di kalangan pelajar PermataPintarnya.
Ia juga telah menandatangani satu lagi MoU mewakili Jaringan Universiti Penyelidikan Malaysia (MRUN) dengan NYAS dan State University New York (SUNY) untuk mengadakan program ‘buaian ke kerjaya’.

Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor,
UKM
menyerahkan dokumen MoU kepada Mr. Ellis Rubinstein, Presiden & CEO NYAS,
disaksikan oleh
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan YB Datin Paduka
Seri Rosmah Mansor, Patron,
PERMATAPintar.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah menandatangi kedua-dua MoU itu bagi pihak UKM dan MRUN.

SUNY diwakili Canselornya, Nancy Zimpher manakala NYAS oleh Yang di Pertua dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ellis Rubinstein.

Upacara itu berlangsung di Akademi Sains New York di Pusat Dagangan Dunia di sini sempena mesyuarat kedua Majlis Penasihat Inovasi dan Sains Sedunia GSIAC).

Ia telah disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke Amerika Syarikat dan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung PERMATApintar.

Kedua-dua MoU itu adalah juga untuk menubuhkan suatu program tamu laureate di PERMATApintar serta menubuhkan makmal pintar di beberapa universiti penyelidikan terpilih membolehkan pelajar PERMATApintar dan penyelidik universiti terbabit melakukan program di NYAS bagi meningkatkan kemahiran dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan ilmu hisab.

Usaha membentuk kecerdasan pemikiran itu bertujuan mengembangkan kebolehan pelajar itu melakukan penyelidikan yang boleh merintis kepada penemuan teori dan filsafah baru iaitu usaha yang boleh menentukan manusia dapat wujud secara berterusan di abad ke 21.

Turut hadir di upacara itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin; Penasihat Sains Perdana Menteri, Prof Emeritus Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Dato Seri Jamaluddin Jarjis.