Ahli Bahasa Bimbang Ketulenan Bahasa Melayu Terhakis

SELASA, 06 NOVEMBER 2012 18:54

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 2 Nov 2012 – Ketulenan bahasa Melayu perlu dijaga bagi mengelakkan identiti bahasa itu muflis ditelan oleh perkataan pinjaman, kata seorang pejuang bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini .

Professor Dr Teo KoK Seong seorang pendukung Bahasa Melayu dan Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, berkata orang Melayu harus mempunyai keazaman untuk melindungi ketulenan bahasa mereka sendiri.

Berucap dalam Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu-isu Bahasa Kebangsaan, beliau berkata keazaman di kalangan orang Melayu sendiri untuk melindungi ketulenan bahasa Melayu perlu ditingkatkan.

Jika sikap mudah meminjam perkataan terus dilakukan tanpa adanya keperluan yang mendesak, ketulenan bahasa Melayu akan muflis, kata Prof Teo.

Beliau berkata ketulenan bahasa Melayu sekarang semakin terhakis kerana keazaman orang Melayu untuk melindungi ketulenan bahasa mereka agak berkurangan.

Keazaman pengamal bahasa Melayu amat membimbangkan jika dibandingkan dengan Bangsa Cina yang menurut beliau kadang-kadang agak keterlaluan dalam melindungi bahasa Mandarin.

Beliau berkata Bahasa Melayu perlu mengurangkan perkataan pinjaman kerana bahasa Melayu itu sendiri kaya dengan perbendaharaan kata yang boleh dipilih.

“Kenapa kita perlu mengguna perkataan infrastruktur kerana maksud itu boleh diterangkan dengan perkataan prasaranayang mampu mencapai maksud tersebut. Demikian juga kenapa perlu menggunakan perkataan kontemporari sekiranya perkataan semasa mampu menyampaikan maksud sama?”

Penggunaan bahasa pinjaman ini dapat dilihat dari segenap bahagian masyarakat termasuklah nama tempat di mercu tanda negara Putrajaya.

Beliau tidak menolak langsung penggunaan bahasa pinjaman tetapi mengingatkan bahawa generasi hari ini bertanggung jawab meninggalkan bahasa yang tulen kepada anak cucu mereka.

Oleh kerana terlalu banyak perkataan yang diserap ke dalam bahasa Melayu mungkin suatu hari nanti, kita perlu merujuk kepada kamus bahasa Inggeris untuk mengetahui makna sesuatu perkataan. Contohnya perkataan modulasi lebih mudah diketahui maknanya dengan merujuk kepada kamus bahasa Inggeris.

Turut hadir di wacana tersebut, Pengarah ATMA, Prof Dr Abdul Latif Samian; Pengurus Besar Kanan Operasi Perbankan, Bank Rakyat, Datuk Hj Mustafha Haji Abdul Razak dan Zarinah Hashim, Ahli Majlis Eksekutif, Matta

Wacana kali ini menjemput wakil dari industri yang rata-ratanya berpendapat bahawa sesebuah syarikat tidak perlu menamakan syarikat mereka dalam bahasa Inggeris untuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.