Malaysia Alami Kenaikan Suhu Sejak 40 Tahun Lalu

JUMAAT, 09 NOVEMBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 6 Nov, 2012 – Penyelidikan menunjukkan bahawa Malaysia telah menjadi semakin panas sejak 40 tahun yang lalu, kata seorang pakar cuaca di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ketua Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika (Iklim), Fakulti Sains dan Teknologi di UKM, Profesor Fredolin Tangang meramalkan paras air hujan juga mungkin akan meningkat.

Berucap di bengkel pertama Bencana Alam dan Perubahan Iklim di Asia, di sini hari ini, Prof Tangang berkata perubahan iklim serantau mempengaruhi kepelbagaian iklim.

Ini bermakna perubahan iklim boleh membawa perubahan ketara cuaca di Malaysia. Bidang Kepakaran beliau adalah Kajian Iklim (Climatology) dan Kajian Samudera (Oceonography) Fizikal.

Bengkel tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Institut Bencana Alam Asia Tenggara UKM (SEADPRI-UKM) dan Yayasan Pembangunan Pendidikan Cambridge.

Beliau bagaimanapun berkata, kita perlu berhati-hati kerana walaupun terdapat banyak kertas penyelidikan mengenai perubahan iklim dari seluruh dunia, kajian khusus mengenai fenomena itu di Malaysia masih tidak mencukupi.

Masih terdapat jurang pengetahuan dalam perubahan iklim serantau, mungkin disebabkan kurangnya minat dikalangan orang awam. Kajian beliau mengenai hujan yang dilakukannya dengan beberapa saintis dari universiti lain adalah antara sebilangan kecil yang dilakukan mengenai Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa pemanasan dalam sistem iklim boleh mempengaruhi ciri-ciri fenomena itu dan perubahan seterusnya boleh mempengaruhi kepelbagaian iklim serantau.

Prof Tangang berkata kenaikan suhu dan paras air hujan yang semakin meningkat dialami Malaysia mungkin menunjukkan perubahan iklim, tetapi lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum rumusan lebih tepat dapat dibuat.

Ini kerana kebanyakan model ramalan iklim masih belum berupaya memberi gambaran fenomena yang lebih tepat, tambah beliau.

Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) telah melakukan kajian mengenai fenomena itu pada tahun 2007, di mana beliau adalah antara penyumbangnya. Laporan keempat IPCC itu adalah taksiran paling menyeluruh mengenai perubahan iklim seluruh dunia.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menunjukkan taksiran terperinci untuk Malaysia kerana ia tidak terhad kepada mana-mana negara tertentu, kata Prof Tangang.

Beliau berpendapat lebih banyak penyelidikan mengenai Malaysia perlu dilakukan untuk membuat rumusan mengenai perubahan iklim di Malaysia.

Secara keseluruhan, jumlah kertas penyelidikan untuk taksiran perubahan iklim di Malaysia adalah rendah berbanding negara-negara lain di Asia seperti Jepun, China dan Taiwan, tambah beliau.

Lebih daripada 30 orang saintis dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai bengkel bertujuan untuk menimbang kemungkinan meningkatkan pertukaran maklumat yang lebih baik mengenai perubahan iklim dan kerjasama antara pusat penyelidikan.