Buku Lama Mengenai Kaum Semang Digarap Semula Dalam Suatu Penerbitan Baru

JUMAAT, 17 OGOS 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 17 Ogos 2012 – Sebuah buku mengenai suku kaum Semang di Semenanjung Tanah Melayu, Among the Forest Dwarves of Malaya (Dikalangan Orang Kerdil Hutan Malaya) yang ditemui baru-baru ini telah digarap dan diberi nafas baru oleh seorang Profesor Antropologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Profesor Dr Kamaruddin Mohd Said berkata sebuah paparan penyelidikan oleh seorang mubaligh dan ahli antropologi Czech,  Paul Schebesta yang diterbitkan pada tahun 1924 lengkap dengan gambar mungkin adalah hasil kajian terawal dalam bahasa Eropah selain Bahasa Inggeris mengenai kaum Orang Asli di sini.

Manuskrip asal kajian itu hampir hilang tetapi ditemui semula bersama dengan negatif gambar-gambarnya dalam sebuah arkib Republik Czech pada penghujung tahun 2011.

Penemuan itu dilaporkan kepada kerajaan Czech di Prague dan bahan itu disampaikan kepada seorang pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM melalui Duta Besar negara Eropah itu di Malaysia.

Gambar-gambar daripada manuskrip itu telah dipulih semula melalui proses digital dan dipamerkan di UKM awal tahun ini.

Kini Prof Kamaruddin ingin menghidupkan kembali minat mengenai penyelidikan Schebesta dalam sebuah penerbitan baru yang beliau turut terlibat menerbitkan bertajuk Semang Revisited, A Photo Collection (Mengunjungi Semula Kaum Semang, Sebuah Koleksi Foto). Buku itu telah dilancarkan minggu lalu.

Beliau berkata minatnya terhadap hasil penyelidikan Schebasta itu adalah kerana jarang sekali terdapat kajian mengenai kaum Asli di Semenanjung oleh orang Eropah selain daripada orang British. Schebesta pula telah hidup bersama dengan kaum Semang dan belajar bahasa mereka di hutan Belum, Perak tidak seperti Orientalis lain pada masa itu.

Prof Kamaruddin berkata buku Schebesta yang diterbit dalam bahasa Jerman pada tahun 1924, menerima sambutan hangat dan dicetak semula beberapa kali sehingga tahun 1928.

Orang Barat ketika itu terpesona dengan suku kaum yang mereka anggap sebagai primitif dan ganas. Schebesta pula mungkin beranggapan bahawa orang Semang berasal dari Pigmi atau “orang kerdil” Afrika, walaupun jarak antara Afrika dan Asia Tenggara amat jauh, katanya.

Buku Schebesta itu memperkukuhkan tanggapan bahawa orang Eropah adalah yang paling maju dan bertamadun di dunia dengan mubaligh Kristian harus memperadabkan orang Asia. Bagaimanapun minat terhadap buku itu tidak kekal dan dilupakan selepas beberapa tahun.

 

Prof Kamaruddin adalah juga seorang juru gambar yang sangat berpengalaman. Walaupun fotografi hanyalah suatu hobinya saja tetapi banyak gambar yang dihasilkannya di anggap sebagai karya seni dan di pamerkan di beberapa pertunjukan di dalam dan luar negara.

Beliau sendiri telah menyelia pemulihan foto lama yang diambil oleh Schebesta yang disifatkannya sebagai amat bermutu. Semang Revisited, A Photo Collection membanding pendapat penyelidik Czech itu dan gambar-gambarnya dengan hasil kajian serta gambar terkini Orang Asli.

Prof Kamaruddin berkata walaupun pada zahirnya tidak terdapat perbedaan ketara dalam wajah rupa suku kaum Semang sekarang berbanding 90 tahun lalu, perubahan besar telah berlaku dalam kehidupan mereka sekarang. Kajian perlu di lakukan terhadap perubahan ini.

Schebesta, yang meninggal dunia pada 1967 ketika berusia 80 tahun, berada di Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1924 hingga 1925 untuk menyelidik kaum Semang. Beliau tinggal dengan mereka di hutan hingga boleh bertutur bahasa Semang. Schebesta menyelidik bidang antropologi fizikal, etnologi dan linguistik dan telah menolak tanggapan bahawa orang pigmi, puak orang asli yang berbadan kecil, adalah dari satu cabang sampingan manusia purba tetapi sebenarnya mereka juga adalah manusia tulen.

Schebesta juga tidak menerima anggapan ramai bahawa pigmi adalah segolongan manusia katik dan telah mempertahankan taraf keaslian primitif mereka sebagai dalam kategori tersendiri. Sumbangan utama etnologi pigmi dibuat oleh Schebesta adalah beliau yang pertama memberikan gambaran penuh mengenai budaya pigmi di rantau Asia Tenggara dan Afrika.

Pada tahun 2008 dua pengembara remaja Czech, Milan Danek dan Alena Slezakova, telah melancarkan “Ekspedisi Orang Asli” untuk menjejak semula perjalanan Schebesta dalam usaha menampilkan kegigihannya hidup bersama orang asli di dalam hutan belantara Malaysia.

Prof Kamaruddin adalah seorang profesor sosiologi, yang mengkhusus dalam bidang sosiologi hubungan industri, di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Beliau juga adalah Pengarah Penerbit UKM, bahagian penerbitan universiti.

Beliau memperolehi PhD dalam bidang antropologi di Universiti of California, Berkeley. Penyelidikan yang diminati meliputi pelbagai topik: konflik, pengadilan dan timbangtara dalam hubungan perindustrian di Malaysia, ekonomi memancing dari perspektif antropologi, sosiologi sastera (Melayu) dan budaya masyarakat orang asli di Semenanjung Malaysia.

Prof Kamaruddin telah menerbitkan beberapa buku dan artikel jurnal tentang perhubungan perindustrian dan ekonomi perikanan serta transformasi budaya masyarakat Orang Asli di Malaysia. Di samping itu, beliau telah berkhidmat sebagai penasihat editorial untuk Sociology, jurnal yang diterbitkan oleh Persatuan Sosiologi British.

Beliau juga pernah dilantik sebagai sarjana pelawat di Tsukuba University, Jepun.