Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Tidak Pernah Jalani Latihan Formal

JUMAAT, 12 OKTOBER 2012 00:00

Rencana dan foto oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 12 Okt 2012 – Satu penyelidikan untuk mengumpul dan mengenalpasti pelbagai jenis tumbuhan ubat-ubatan tempatan dan ramuan digunakan dalam rawatan dan penjagaan ibu Melayu selepas melahirkan anak mendapati masih tidak ada latihan secara formal dijalankan untuk pengamal perubatan Melayu tradisional.

“Pengetahuan dan pemberian ubat-ubatan tradisional diturunkan dari generasi ke generasi semata-mata secara lisan dari mulut ke mulut.

“Dalam konteks sosioantropologi, struktur perubatan Melayu tradisional tidak tetap dan kaku, lantas membolehkan penambahbaikan dan perubahan dibuat mengikut kesesuaian dan keperluan semasa,” kata Profesor Madya Dr Jamia Azdina Jamal.

Dr Jamia Azdina telah menjalankan penyelidikan itu bersama Dr Khairana Husain daripada Pusat Penyelidikan Dadah dan Herba, Fakulti Farmasi, UKM dan Dr Zakiah Abd Ghafar daripada Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan.

Beliau berkata: “Pelbagai cara digunakan dalam merawat kesakitan termasuk menggunakan ubat herba seperti rempah ratus, tumbuhan dan haiwan, sedangkan rawatan fizikal pula seperti mengurut, terapi sedut dan berkhatan di samping rawatan kerohanian seperti berdoa dan solat”.

Hasil penyelidikan itu dimuatkan dalam sebuah rencana bertajuk “Tumbuhan Ubat-ubatan digunakan dalam Rawatan Selepas Bersalin dalam Perubatan Melayu Tradisional di Semenanjung Malaysia” yang diterbitkan dalam Jurnal Pharmacognosy.

Penyelidikan itu mendapati sebanyak 23 campuran ramuan diperbuat daripada 128 jenis tumbuhan diperlukan untuk merawat ibu yang bersalin.

Dr Jamia Azdina dan pembantunya telah berjaya mengumpul maklumat mengenai campuran ramuan yang dikategorikan sebagai jamu, herba segar, ubat titis mata, bedak talkum dan larutan mandi.

Tumbuhan yang digunakan terdiri daripada 52 jenis berasal daripada 42 genera dan 27 keluarga. Bahagian-bahagian tumbuhan yang digunakan dalam ramuan itu termasuk rizom (ubi), buah/beri, daun, benih, kulit kayu, bunga, akar, seluruh tumbuhan, pundi dan bebawang.

Ketiga orang penyelidik itu telah menemuramah pengamal-pengamal perubatan tradisional Melayu dari Muar, Johor dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pengamal itu dipilih secara rawak.

Tujuh pengamal perubatan itu lima dari Muar dan dua dari Kuala Pilah ditemuramah seorang demi seorang berdasarkan pertanyaan digubal lebih awal,.

Mereka adalah Salmi Hadi, Hussain Rais, Kalsom Abdullah and Painah Ahmad dari Kampung Parit Medan, Muar; Zainab Ahmad dari Kampung Tiong Baru, Muar Johor dan Yah Pit serta Ujang Idris dari Kampung Tanjung Jati, Kuala Pilah.

Hussain dan Ujang merupakan dua orang pengamal perubatan tradisional yang terkenal di kawasan mereka.

Dr Jamia Azdina berkata mak bidan adalah pengamal perubatan yang penting dalam perubatan Melayu tradisional kerana peranan mereka bukan sahaja merawat tetapi juga memberi nasihat kepada wanita mengenai penjagaan sebelum dan selepas bersalin dan masalah kesihatan.

“Tugas utama seorang mak bidan tradisional adalah menjaga seseorang wanita yang hamil sebelum, ketika dan selepas bersalin. Seringkali wanita mengandung dan yang telah bersalin akan mendapatkan bantuan daripada mak bidan apabila mereka menghadapi masalah-masalah berkaitan dengan peranakan.

“Rawatan biasanya dijalankan dengan mengurut badan sama ada disapu minyak masak biasa atau minyak ubat. Mengurut didapati bermanfaat untuk mengendurkan tubuh di samping menghilangkan kesakitan pada sendi-sendi dan otot dan kekejangan,” kata beliau.

Adakalanya satu campuran tumbuhan, dikenali sebagai jamu diberikan kepada ibu bersalin. Secara tradisional jamu digunakan untuk menghilangkan penyakit biasa, sebagai ubat tambahan kesihatan dan makanan tambahan, di samping digunakan dalam membuat kosmetik.

Ramuan lain yang disediakan mak bidan termasuklah air selusuh (diminum sebelum dan selepas bersalin), ubat periuk (untuk selepas bersalin), makjun, bedak sejuk, param dan alat pemanas badan.

Dr Jamia Azdina berkata masyarakat Melayu percaya bahawa perhatian dan penjagaan khas harus diberikan kepada seseorang ibu yang baru bersalin dan dalam masa pantang ibu itu dibantu memulihkan tenaga dan kecergasan.

Jamu biasanya diberikan pada sebelah pagi, diikuti dengan mengurut badan untuk sekurang-kurangnnya tiga hari berturut-turut. Kemudian pemanas badan berupa tunku batu yang sudah diganggang dan dibalut dengan kain diterapkan pada bahagian perut.

Sejenis campuran ubat kemudian disapu ke atas perut dengan pinggang dibalut dengan kain bengkung. Ubat yang disapu itu kadangkala juga disapu pada dahi dan muka.

Mereka mendapati sejumlah 23 campuran ramuan diperbuat daripada 128 tumbuhan. Jenis ramuan itu termasuklah jamu, ubat titis mata, ulam, tapel, param dan mandian.

“Dalam perubatan tradisional Melayu, jamu digunakan dalam pengubatan selepas bersalin untuk membantu melancarkan pengedaran darah, memanas dan menyegarkan tubuh badan, mencepatkan pengecutan rahim dan mengetatkan faraj, menggalakkan pembuangan air besar dan menghalang pengeluaran cecair dari faraj.

“Jamu biasanya mengandungi campuran pelbagai tumbuhan dan diberikan sama ada dalam bentuk pil herba atau dibancuh dengan air atau dikocak dengan air panas.

“Bahan campuran dalam jamu didapati berbeza-beza mengikut pengamalnya. Hasil kajian mereka mengukuhkan kenyataan penyelidik Prof Dr Kamaruddin Mat Salleh bahawa amalan pengamal perubatan tradisional tidak kaku. Ini tidak seperti amalan tradisional atau ubat tambahan lain di mana sesejenis penyakit dirawat dengan satu jenis ubat yang sudah ditetapkan,” kata Dr Jamia Azdina.

Mereka juga mendapati 61 tumbuhan ubat-ubatan daripada 35 golongan tumbuhan digunakan dalam membuat jamu termasuk kunyit, ketumbar, cekur, kedaung, manjakani dan kayu angin.

Penggunaan kunyit dalam perubatan Melayu telah dirakamkan oleh IH Burkill untuk wanita bersalin dan penyakit lain berkaitan selepas waktu bersalin seperti tumpah darah, kencing tidak lawas, sukar membuang air besar, bengkak, tonik, masalah saluran peranakan dan menyembuhkan luka.

Kajian terhadap kunyit sebelum ini mendedahkan bahawa ekstraknya mempunyai kesan-kesan anti-kemurungan, tekanan darah dan mengendurkan saluran darah dalam haiwan.

Bahan curcumin dipisahkan daripada kunyit didapati menunjukkan reaksi terhadap pelbagai penyakit akibat kebengkakan seperti barah, sakit jantung, paru-paru, hati dan kulit, neuro-degenerasi dan penyakit berkaitan hormon dan lain-lain.

Pilis yang disapu pada dahi, sebahagian badan dan bahan mandi daripada herba digunakan untuk bahagian luaran.

Kajian itu mendapati pilis diperbuat daripada campuran limau nipis dan perahan asam jawa atau halia dan disapu pada bahagian perut.

“Ini dipercayai  boleh membuat rahim mengecut dan bahagian perut mengempis.  Amalan ini mungkin boleh dikaitkan dengan hasil kajian bahawa metanol dan ekstrak etil asetat daripada halia mengurangkan lemak pada bahagian perut haiwan,” kata beliau.

Penggunaan halia untuk membuat pilis adalah sejajar dengan keperluan pada masa pantang dan ketika wanita beransur pulih selepas bersalin. Orang Sunda di Jawa Barat, Indonesia juga telah menggunakan asam jawa dalam rawatan selepas wanita bersalin.

Pilis yang disapu pada dahi sejak dulu lagi dipercayai membantu membaiki penglihatan yang kabur dan merawat sakit kepala selepas bersalin.

Dr Jamia Azdina menerangkan bahawa 15 jenis yang dijadikan empat campuran telah dicam dalam kajian ini. Kayu manis digunakan dalam empat campuran, cengkih (tiga) dan kemungkus (tiga) adalah tiga bahan paling sering digunakan dalam membuat pilis.

Hanya cengkih dilaporkan telah digunakan secara tradisional dalam merawat sakit kepala. Minyak cecair eugenol yang merupakan bahan aktif cengkih didapati merencat monoamina oksidase di luar badan dan adalah bahan anti-kemurungan dalam haiwan.

Secara tradisional, param digunakan untuk mengurut atau disapu di seluruh badan kerana dianggap dapat membantu untuk mengembalikan bentuk badan yang lansing, membuang angin, menghilangkan parut dan melicinkan kulit. Cekur, beras dan halia adalah tiga bahan yang paling digemari untuk membuat param.

Kajian mendapati ekstrak metanolik daripada cekur mendatangkan kesan anti-nossiseptif pada haiwan dan ekstrak hexani ada bahan sedatif. Di samping itu, beras digunakan oleh orang Sunda di Jawa Barat, Indonesia untuk mengubati penyakit kulit.

Beras mungkin juga digunakan sebagai pencair berikutan kandungan bahan kekanci di dalamnya untuk menyapu param dengan rata.

“Dalam perubatan tradisional Melayu, wanita baru bersalin digalakkan supaya mandi air dididihkan dengan dedaun atau akar tumbuhan. Kami dapati 17 tumbuhan ubat-ubatan disediakan dalam dua cara. Dua daripadanya menggunakan lengkuas, bongelai (dua) dan serai (dua).

“Penggunaan herba berbau wangi dipercayai dapat membantu menghilangkan bau badan, menyegarkan tubuh dan membuat seseorang berasa hangat selain membuang angin dalam badan dan melicinkan kulit,” kata Dr Jamia.

Herba yang disapu pada kulit disokong dengan fakta bahawa minyak daripada bongelai aktif mengubati jangkitan pada kulit akibat bakteria, dermatofit dan yis serta minyak serai mempunyai kesan kuat mengubati jangkitan kulat.

Dalam penyelidikan mereka itu, Dr Jamia Azdina mendapati antara herba segar dimakan termasuk daun pegaga untuk mencetuskan pengeluaran susu badan dan rizom halia untuk memanaskan badan.

“Seorang daripada pengamal itu memberitahu air kemungkus digunakan sebagai penitis mata untuk membaiki penglihatan kabur seseorang wanita yang baru bersalin, namun penggunaan penitis mata dari herba bukanlah amalan biasa,” kata beliau.

Mereka juga mendapati sebanyak 52 spesis tumbuhan ubat-ubatan daripada 42 genera digunakan dalam penyediaan 23 jenis ubat pos-pendarahan.

Sesetengah tumbuhan ubat-ubatan didapati sering digunakan dalam penyediaan itu seperti kunyit (7 campuran),halia (7), kayu manis(6), cekur (6), kemungkus (6) bongelai (6), jerangau (5), lada hitam (5), pulasari (4), jintan hitam(4) dan kayu angin (4).

Adalah dijangkakan pengamal perubatan traditional Melayu menggunakan herba dan rempah ratus yang mudah diperolehi seperti kunyit, halia, cekur, bongelai, kayu manis, lada putih, lada hitam, ketumbar dan adas pedas.

Bagaimanapun, penggunaan habbatus sauda yang tidak ditanam di rantau ini agak menghairankan tetapi ia mungkin adalah akibat pengaruh Perubatan Rasulullah kerana dipercayai habbatus sauda adalah penawar setiap penyakit kecuali mati.

Di samping itu, beberapa kelebihan jintan hitam daripada segi farmasilogi telah dilaporkan termasuk ia ada ciri-ciri anti-kemurungan, anti-bengkak dan analgesia serta mengurangkan ketegangan.

Bahagian tumbuhan ubat-ubatan yang sering digunakan dalam penyediaan ubat adalah rizom (25 %), buah/beri (22%) dan daun (19%) diikuti dengan benih (9%), bunga (5%), akar (5%) seluruh tumbuhan (3%), pundi (2%) dan bebawang (1%).

Kebanyakan penyediaan itu menggunakan rizom spesis halia manakala daun banyak digunakan dalam menyediakan ramuan untuk mandi. Bahagian lain tumbuhan digunakan untuk kegunaan berbeza.

Sebagai contoh, rizom bongelai digunakan untuk membuat jamu  manakala daunnya digunakan untuk mandi herba. Kekerapan penggunaan bahagian tumbuhan didapati berbeza daripada kajian sebelum ini, di mana akar dan daun digunakan dalam membuat ubat-ubatan. Ini mungkin menggambarkan kepelbagaian amalan tradisional berdasarkan perbezaan budaya.