UKM Akan Bekerjasama Dengan NCU Taiwan Dalam Bidang Informatik Visual

SELASA, 16 OKTOBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 12 Okt 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan The National Central University of Taiwan (NCU) hari ini menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan berkongsi kepakaran, terutama dalam bidang Informatik Visual.

Institut Visual Informatik UKM dan Kolej Kejuruteraan Elektrik dan Sains Komputer (EECS) dari NCU dijangka menjalankan penyelidikan pasca-siswazah dalam bidang Sains Komputer dan Kualiti Alam Sekitar.

UKM diwakili Pengarah Institut Visual Informatik, Profesor Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman manakala Presiden sementara NCU Dr Joseph S. Lee mewakili universiti Taiwan itu. Ia disaksikan oleh Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa UKM, Prof Dr Imran Ho dan Dekan EECS NCU, Prof Wang Wen June.

Prof Dato’ Halimah berharap kerjasama itu akhirnya akan melahirkan kesedaran mengenai pentingnya mewujudkan sebuah badan profesional kebangsaan saintis komputer di Malaysia, seperti bidang perubatan, kejuruteraan dan undang-undang yang mempunyai lembaga pentadbiran mereka masing-masing.

Prof Halimah berkata UKM berminat mengetahui pengalaman universiti-universiti di Taiwan membentuk syarikat terbitan untuk memasarkan inovasi dan ciptaan mereka.

Beliau berkata memorandum itu mencerminkan keyakinan UKM terhadap NCU sebagai pusat penyelidikan dan kecemerlangan akademik yang telah berjaya melaksanakan pelbagai program kerjasama pembelajaran.

Kerjasama itu adalah juga sebagai suatu kolaborasi jaringan antarabangsa dalam merancang dan melaksanakan pemindahan ilmu dan teknologi dan penerapan budaya kerja dari NCU ke UKM, kata Prof Halimah.

Beliau mempelawa pelajar pasca-siswazah NCU untuk mengambil bahagian dalam program mobiliti antarabangsa UKM.

Prof Wang mencadang UKM memohon geran penyelidikan daripada kerajaan Taiwan bagi membolehkan siswa pasca siswazah Malaysia menggunakan kemudahan NCU.

Beliau yakin NCU akan dapat berkongsi pengetahuan dengan UKM dan menjemput saintis UKM membuat kajian dalam bidang elektronik di NCU.

NCU, katanya, mampu menjadi rakan kongsi dengan universiti-universiti antarabangsa kerana ia di dianggap sebagai universiti ke lima terbaik di Taiwan.

Walaupun NCU diasaskan sebagai sebuah universiti Sains Bumi, ia sekarang lebih cenderung kepada bidang elektronik, tambah beliau.

NCU adalah salah satu daripada tujuh universiti penyelidikan di Taiwan. Ia telah mencatat beberapa pengiktirafan antarabangsa, seperti bandar pendidikan maya pertama di dunia, menurut pertubuhan EduCities dan ia mencipta paparan Hablur Plasma pertama di dunia untuk industri elektronik.

NCU berada di tangga 278 dalam senarai QS kedudukan universiti dunia untuk bidang Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.

NCU diasaskan di Nanjing, China pada tahun 1915. Selepas Taiwan berpecah dari tanah besar China pada tahun 1949, NCU ditubuhkan semula di pulau itu pada tahun 1962.

Ia terletak hanya setengah jam dengan kereta dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan yang memudahkan ia dikunjungi.