UKM Berhasrat Melahirkan Pakar Mewujudkan Pekerjaan Berpendapatan Tinggi

JUMAAT, 05 OKTOBER 2012 00:00

Oleh Rejal Arbee

BANGI, 2 Okt 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan menggunakan kemahiran dan usaha inovasi yang ada padanya untuk melahirkan pakar-pakar yang boleh mewujudkan pekerjaan bagi meningkatan kekayaan.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata usaha itu boleh dilaksanakan melalui syarikat-syarikat terbitannya yang dapat memajukan ekonomi negara dengan mengadakan pekerjaan berpendapatan tinggi sambil meningkatkan daya pengeluaran.

Universiti itu kini sudah pun melahirkan golongan warga mahir terdiri dari jurutera, ahli sains, pencipta, pakar mempromosi produk selain dari pengurus perusahaan untuk memantabkan nilai syarikat terbitannya.

Melalui syarikat terbitannya ia juga telah dapat memautkan kemahirannya itu dengan kehendak perniagaan untuk melahirkan keusahawanan dan kemajuan perdagangan.

Berucap di pelancaran Persidangan Undang-undang Tuanku Jaafar yang ketiga mengenai “Academic Entepreneurship and University Start-Ups” oleh Canselor UKM, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di sini hari ini, Prof Sharifah Hapsah  berkata UKM sudah pun mengabungkan usaha inovasi dan keusahawanan di dalam kurikulumnya.

Ini membolehkan anggota akademik, penyelidik dan siswanya berkecimpung bukan sahaja dalam suasana pembelajaran tetapi menyelami usaha di mana hasil penyelidikan dapat dibawa ke pasaran.

Prof Sharifah Hapsah berkata tanpa adanya inovasi dan keusahawanan apa-apa penemuan penyelidikan dan paten yang diperolehi tidak akan dapat dimajukan dan akan tersimpan dalam rak-rak makmal sahaja.

Maka itu keusahawanan boleh meningkatkan lagi nilai tugasan tradisinya untuk menghasil dan menyebar ilmu dan pengetahuan melalui pelbagai penerbitan selain memberi pengalaman pelajaran kepada siswanya untuk kebaikan umum.

Dalam menjalankan usaha barunya itu ia perlu pula mengatasi budaya berbeda antara perusahaan dan akademik dimana pihak akademik berkehendakan apa-apa penemuan mereka disebar luas berbanding dengan kehendak perusahaan untuk menghadkan pengetahuan itu supaya tidak diketahui penyaingnya.

Beliau berkata UKM telah memberi tumpuan kepada mewujudkan pengusaha akademik di kalangan warganya termasuk penyelidiknya dengan menyediakan dasar yang menjamin hak harta intelek selain menyediakan prasarana mendokong keusahawanan akademik.

Sehingga kini ia sudah pun melaksanakan 15 lesen dan mengadakan 33 buah syarikat teknologi yang telah dapat menyediakan 70 pekerjaan termasuk ketua pegawai eksekutif, pegawai teknikal, ketua pegawai kewangan, pengurus projek dan pengusaha dalaman.

Mereka ini dibantu oleh Pusat Inovasi Kolaboratif (PIK), UKM Technology Sdn Bhd, ia itu syarikat induk kepada syarikat teknologi dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (CESMED).

Prof Sharifah Hapsah juga berharap persidangan itu dapat berkongsi pengalaman untuk mengadakan dasar terbaik mengenai hak intelek serta perlindungan undang-undang kepada syarikat terbitan.

Persidangan itu diadakan sempena pembukaan mahkamah moot universiti itu yang baru.