Mengukuhkan Penggunaan Bahasa Melayu Di Negeri Thai

RABU, 12 SEPTEMBER 2012 00:00

By Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 11 Sep 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia akan membantu sebuah universiti di Thailand, Phetchaburi Rajabhat University (PBRU) mengajar Bahasa Melayu dan mengadakan penyelidikan mengenainya.

Satu Memorandum persefahaman (MOU) mengenainya ditandatangani di sini hari ini antara UKM dan PBRU yang dipercayai boleh mengukuhkan lagi penggunaan bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara.

Naib Canselor UKM, Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Presiden PBRU, Dr Niwat Gin-ngam telah menandatangani perjanjian itu bagi pihak universiti masing-masing.  Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Dr Hazita Azman dan Cik Kanokwan Kusolwatr dari Jawatankuasa ASEAN di PRBU menandatangani sebagai saksi.

Prof Sharifah Hapsah berkata MOU itu akan membuka peluang yang baik untuk UKM mengambil langkah ke hadapan untuk menegakkan penggunaan bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara.

MOU itu bertujuan mengadakan kerjasama penyelidikan bahasa yang juga memfokuskan kepada Bahasa Inggeris dan Thai, di antara UKM dan PBRU yang boleh membuahkan hasil pembentangan, penulisan dan penerbitan bersama.

Ia juga membuka peluang kepada pelajar dan warga kerja PBRU mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu mereka. Universiti itu juga akan menubuhkan persatuan bahasa Melayu PBRU.

Ia juga memberi peluang mengadakan pertukaran pelajar untuk mengenali budaya masing-masing serta meluaskan pendedahan mereka dan memupuk persefahaman bagi generasi akan datang di rantau ini.

Aktiviti yang telah dirancang untuk merealisasikan MOU tersebut termasuk mengadakan program mobiliti pelajar dua hala termasuk program pelatih, di peringkat mahasiswa dan siswazah, kursus jangka pendek dan latihan untuk warga kerja dan pelajar mereka.

PBRU juga boleh mengambl bahagian dalam persidangan-persidangan yang akan diadakan UKM mulai tahun ini.

Dr Niwat berkata perjanjian itu tidak terbatas kepada peningkatan ilmu untuk generasi akan datang sahaja bahkan akan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua negara Thai dan Malaysia.

Kerjasama yang melibatkan negara selalunya memberi manfaat yang lebih dari apa yang dapat dijangkakan kerana ia boleh membawa kepada kerjasama lain yang tidak dapat diduga sekarang, katanya.

Menteri dan Ketua Pejabat Kedutaan DiRaja Thailand di Malaysia, Songsak Saicheua; Pengarah, Pejabat Hubungan Antarabangsa UKM, Prof Dr Imran Ho Abdullah; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Prof Dr Mohd Safar Hasim dan wakil dari kedua-dua buah universiti telah hadir di upacara itu.