Perbincangan Kemerdekaan Negara Harus Merangkumi Peranan Globalisasi

KHAMIS, 13 SEPTEMBER 2012 10:48

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 10 Sep 2012 – Perbincangan Sejarah Kemerdekaan negara ini perlu lebih menyeluruh dan harus merangkumi peranan Globalisasi seperti perang dingin antara Barat dan blok Komunis.

Pakar hal-ehwal antarabangsa, Profesor Dato’ Mohamad Abu Bakar berkata Perang Dingin adalah faktor luaran yang penting yang kini kurang diberi perhatian apabila kemerdekaan dibincangkan.

Beliau memperkatakan mengenai sejarah moden Tanah Melayu dalam Majlis Syarahan Kemerdekaan atas tajuk Kemerdekaan dan Kesejagatan; Malaysia dalam Era Perubahan, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Perang Dingin antara ideologi Barat dengan Soviet Union dan China mempengauruhi kerajaan Eropah yang menjajah rantau Asia Tenggara, termasuk Tanah Melayu untuk mempercepatkan kemerdekaan tanah jajahan mereka.

Prof Mohamad berkata Britain dan Amerika Syarikat mahukan peralihan kuasa dibuat kepada kerajaan yang pro-Barat yang memenangi pilihan raya pada 1955.

Beliau berkata Malaysia tidak boleh elak daripada tekanan globalisasi sebagaimana ia terperangkap dalam Perang Dingin pada tahun 1950an dan ancaman dari negara jiran pada tahun 1960an.

Amerika Syarikat, katanya, telah menekan Britain supaya mempercepatkan kemerdekaan beberapa wilayah jajahannya di Asia Tenggara supaya gerakan Komunis yang sedang mengembang dan mendakwa diri sebagai pembela rakyat tidak dapat sokongan ramai.

Washington khuatir pemerintah British di Malaya pada masa itu akan dianggap sebagai kuasa asing imperialisme yang kejam manakala pengganas Komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Oleh itu, katanya, adalah penting bagi peralihan kuasa dibuat kepada pihak pro-Barat yang diterima oleh rakyat jelata melalui pilihan raya tahun 1955.

Prof Mohamad menerangkan bahawa perubahan akibat globalisasi masih mempengaruhi arus ekonomi dan politik negara-negara Asia Tenggara sekarang termasuk Malaysia.

Umpamanya negara-negara yang Malaysia mempunyai hubungan tegang dahulu, seperti China dan Indonesia, kini adalah rakan mesra dagang dan politik. Ini menunjukkan perubahan yang ketara telah berlaku akibat globalisasi.

Prof Mohamad ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik dan mantan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Prof Pelawat di National University of La Plata, Argentina, Prof Pelawat di Pusat Pengajian Islam di Oxford dan Felo Pelawat Fulbright di University Washington, Amerika.

Beliau telah menyandang Kursi Tun Abdul Razak di Universiti Ohio, Amerika Syarikat dari 2005 hingga 2007 dan telah melaksanakan lebih daripada 350 pembentangan kertas kerja di persidangan dalam dan luar negara, termasuk untuk rancangan radio dan televisyen, seperti al-Jazeera dan BBC.