Siswa UKM Diingat Berhemah Bila Mengeluarkan Pandangan

ISNIN, 10 SEPTEMBER 2012 11:53

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi, Izwan Azman

BANGI, 7 Sept 2012 – Mahasiswa baru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diingatkan bahawa mereka bebas bersuara tetapi perlu bertanggungjawab dan berhati-hati apabila mengeluarkan sesuatu pandangan.

Naib Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata memandangkan remaja kini gemar mengguna laman web media sosial untuk meluahkan perasaan, mereka perlu lebih berhemah apabila mengeluarkan ungkapan secara umum.

Berucap ketika menyampaikan amanat beliau di Majlis Ikrar pelajar baru bagi sesi akademik 2012-2013 di sini hari ini beliau berkata sebarang dakwaan atau tuduhan yang dibuat harus mempunyai bukti.

Beliau menerangkan bahawa kerajaan telah pun meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 yang membenarkan penuntut menyertai parti politik apabila telah mencapai usia 21 tahun.

Namun bagi menjaga kepentingan peranan universiti sebagai institusi pendidikan, politik kepartian dilarang dibawa ke dalam kampus.

Langkah berkenaan diwujudkan sebagai menghormati hak Perlembagaan mahasiswa negara yang kebanyakannya sudah mencapai umur matang undang-undang atau ‘age of majority’.

Prof Sharifah Hapsah yakin dengan kematangan dan kebijaksanaan siswa/siswi UKM dan berharap mereka tidak akan melakukan apa-apa yang boleh menjejas nama baik universiti.

 

Beliau berkata ibu-bapa dan penjaga mereka rata-ratanya mengharapkan mereka akan memanfaatkan peluang berada di UKM untuk memajukan diri.

Lebih 2,600 pelajar baru telah mendaftar di UKM pada 2 Sep lalu. Mereka ini terdiri dari 2,561 orang yang mendaftar sebagai siswa biasa Fakulti, 38 orang pelajar antarabangsa dan 17 orang pelajar saluran kedua yang mendaftar di Pusat Kembangan Pendidikan.

Prof Sharifah Hapsah juga menasihati mereka menguasai kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris. UKM juga memberi penekanan terhadap penguasaan Bahasa Inggeris oleh pelajarnya.

UKM, katanya, akan menaikkan lagi taraf pencapaian Bahasa Inggeris melalui dua cara; memantau penguasaan Bahasa Inggeris mereka melalui ujian yang dikendalikan oleh Pusat Bahasa serta mengadakan Zon Pertuturan Bahasa Inggeris di setiap kolej kediaman di mana mereka diwajibkan bercakap hanya bahasa Inggeris.

Dasar ini tidak akan meminggirkan Bahasa Malaysia, kerana semua pelajar sepatutnya sudah mahir dalam bahasa kebangsaan.

Menyentuh program mobiliti antarabangsa yang dikendalikan di UKM, beliau berkata siswa-siswi baru digalakkan beramah mesra dengan pelajar asing yang menyertai program itu dan sentiasa menjaga tingkah laku diri mereka.

Turut hadir Dekan semua fakulti dan ketua institusi-institusi.