UKM Gerakkan Misi Kemanusiaan di Kawasan Dilanda Banjir di Pahang

SELASA, 24 DISEMBER 2013 10:25

Oleh Abd Razak Hussin
Foto Muhd Iqmal Abd Razak

PEKAN PAHANG, 17 Dis 2013 – Misi kemanusiaan yang pertama bagi membantu mangsa banjir besar di Kampung Pulau Manis dan kampung berdekatan telah digerakkan oleh Pejabat Hubungan Universiti Masyarakat (PHUM) dengan kerjasama Pusat Komunikasi Korporat, Unit Zakat, Pusat Islam dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM.

Seramai 30 pelajar sarjana psikologi dan enam pegawai UKM membantu kerja pencucian di Sekolah Kebangsaan Pulau Manis, Pusat Penempatan Banjir, Masjid Kampung Tanjung Pulai dan beberapa rumah penduduk yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda negeri Pahang baru-baru ini. Turut bersama dalam operasi pembersihan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Manis Dato’ Khairuddin Mahmud,  penduduk tempatan, Skuad Sayang dan Puteri UMNO tempatan, Pasukan Bulan Sabit Merah serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Pekan.

Pada misi dua hari itu, PHUM dan Unit Zakat UKM turut memberi sumbangan dapur gas, barang keperluan, peralatan sekolah dan sedikit wang bagi meringankan kesukaran yang dihadapi penduduk di Pulau Manis, Tanjung Pulai dan kampung-kampung sekitar. Sumbangan telah disampaikan oleh Dato’ Khairuddin dan pegawai-pegawai UKM.

Dalam majlis penyerahan tersebut, Dato’ Khairuddin merakamkan ucapan penghargaan masyarakat tempatan di atas keprihatinan UKM terhadap kesukaran penduduk yang sedang menghadapi masalah banjir besar itu.