Kakitangan UKM Berentap Dalam Pertandingan Menembak Dengan Pegawai Palapes

KHAMIS, 07 NOVEMBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 4 Nov 2013 –  Buat julung kalinya, orang awam telah mengambil bahagian dalam satu pertandingan kemahiran menembak bersama  Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Seramai 60 pegawai kadet simpanan dan 40 penonton mengambil bahagian dalam acara tersebut yang dianjurkan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama UKM dan USIM, di sini hari ini.

Latihan pegawai simpanan USIM sedang dikendalikan oleh UKM.

Ketua latihan PALAPES UKM, Lt Kol Mohd Sahar Haji Said berkata ini juga merupakan kali pertama bahawa kakitangan UKM bukan tentera telah dijemput untuk menyaksikan acara bersama UKM dan USIM.

Mohd Sahar memuji semangat yang ditunjukkan oleh orang awam dan menyifatkan sambutan itu sebagai menggalakkan.

Antara peserta yang hadir Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, yang merupakan Komandan PALAPES dan kakitangan pelbagai fakulti, pusat dan pengawal keselamatan.

Para Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dato’ Dr Ir Othman A Karim dan Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) juga telah mengambil bahagian.

Sebelum pertandingan bukan rasmi itu, orang awam berlatih menembak senapang M-16 secara ringkas dengan 10 butir peluru setiap seorang pada jarak 25 meter ke sasaran kadbod. Mereka dikenakan bayaran RM10 untuk 10 butir peluru.

Para peserta telah dibahagikan kepada 16 kumpulan mengandungi empat anggota setiap satu di mana anggota tentera dan orang awam tidak diasingkan.

Perlawanan itu diadakan dalam format kalah mati dengan setiap pasukan yang berjaya mara ke peringkat seterusnya sehingga tinggal dua kumpulan untuk pertandingan akhir.

Setiap peserta diberi 5 butir peluru dan satu pasukan dikehendaki menjatuhkan 9 sasaran. Kumpulan pertama yang berjaya menurunkan paling banyak sasaran sebelum peluru kehabisan mara ke peringkat seterusnya.

Kumpulan yang kebanyakannya terdiri daripada pengawal keselamatan UKM telah muncul sebagai juara.