Kerjasama Dengan Universiti Cambridge Untuk Melakukan Penyelidikan Sains Iklim

KHAMIS, 21 NOVEMBER 2013 19:30

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 19 Nov 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bekerjasama dengan sebuah badan dari University of Cambridge untuk menyelaraskan penyelidikan mengenai sains iklim di Asia.

Perjanjian kerjasama itu telah di tandatanganinya dengan Tabung Amanah Pembangunan Pendidikan Malaysia Cambridge (CMEDT) dengan kerjasama Pusat Pengajian Komanwel Malaysia (MCSC) di universiti British itu dalam satu majlis ringkas di sini hari ini.

Pemegang Amanah dan Pengerusi Eksekutif Bersama CMEDT/ MCSC Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menandatangani perjanjian itu bagi pihak tabung itu manakala Naib Canselor Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah mewakili UKM.

Majlis tandatangan itu disaksikan oleh Felo Pelawat MCSC, Profesor Emeritus Lord Julian Hunt dan Timbalan Naib Canselor UKM (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali. Lord Hunt adalah juga pengerusi syarikat Cambridge Environmental Research Consultants Ltd, sebuah firma yang bertindak sebagai pakar runding dalam penyelidikan alam sekitar.

Perjanjian kerjasama itu akan menubuhkan Rangkaian Asia untuk Sains Iklim dan Teknologi (ANCST), yang antara lain, akan menggalakkan pencegahan bencana dan daya tahan iklim di Asia menerusi pembinaan keupayaan dan program jangkauan. Laman web Portal ANCST telah juga dilancarkan di upacara itu.

Tun Ahmad Sarji, yang juga Pro-Canselor UKM berkata perjanjian itu adalah tepat pada masanya kerana Asia kini mengalami bencana alam yang paling kerap di dunia.

Beliau merujuk kepada taufan raksasa Haiyan – yang telah merosak dan memusnahkan bahagian tengah Filipina awal bulan ini – yang diramalkan boleh berlaku  lagi.

Super taufan Haiyan diakui sebagai taufan paling teruk pernah berlaku sejak rekod bermula.

Tun Ahmad Sarji berkata laporan kelima jawatankuasa Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) September lalu meramalkan hujan yang dikaitkan dengan musim tengkujuh  akan bertambah di Asia Timur, Selatan dan Tenggara.

Dana penyelidikan itu akan disediakan CMEDT/MCSC untuk menggerakkan kerjasama antara beberapa universiti dan pusat penyelidikan di Malaysia dan rantau ini.

Melalui perjanjian kerjasama itu, Institut Kajian Bencana Asia Tenggara UKM (SEADPRI) akan bertindak sebagai pusat penyelaras bagi ANCST.

Dalam ucapan aluannya, Prof Sharifah Hapsah berkata SEADPRI adalah pilihan yang sesuai untuk memimpin  konsortium universiti bersama dengan Akademi Sains Malaysia untuk menjalankan penyelidikan.

Beliau berkata perjanjian kerjasama itu juga bertujuan untuk menyokong aktiviti akademik dan penyelidikan melalui pertukaran kakitangan dan kerjasama mengenai kepentingan bersama.