Sains Forensik Penting Untuk Memerangi Jenayah

KHAMIS, 17 OKTOBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 8 Okt 2013- Sains forensik adalah penting untuk menyediakan bukti kes-kes jenayah yang dihadapkan ke mahkamah.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata lebih banyak kes kini telah menggunakan sains forensik untuk mengumpul bukti terhadap sesuatu kejadian jenayah.

Merasmikan Kongres kesebelas Persatuan Undang-undang, Perubatan dan Sains Antarabangsa Indo-Pasifik(INPALMS) di sini hari ini, beliau berkata analisis DNA telah banyak membantu pegawai undang-undang untuk mengukuhkan kes mereka di mahkamah.

“Peranan sains forensik dalam sistem keadilan adalah tepat dan amat penting,” katanya.

IMPALMS dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan Universiti TeknologiMARA (UiTM), serta Persatuan Sains Forensik Malaysia dan Institut Perubatan Forensik Negara.

Penyelidik dan saintis dari 40 buah negara menyertai persidangan enam hari itu yang akan berakhir Jumaat (Okt 11) ini. Fakulti-fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UKM turut membentangkan beberapa kertas kerja di persidangan itu.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill turut hadir.

Dr Subramaniam berkata selain memerangi jenayah, isu-isu rumah tangga seperti pertikaian ibu-bapa juga dapat diselesaikan melalui analisis DNA.

Analisis DNA, yang pada suatu masa dahulu sukar dan lambat dilakukan, kini boleh dibuat dengan lebih cepat dan lebih tepat pula.

Beliau menggesa ahli sains bekerjasama dengan perkhidmatan sosial untuk membantu mengenal pasti penyakit genetik supaya rawatan yang betul boleh diambil terhadap pesakit secara lebih awal.

IPALMS ditubuhkan pada tahun 1986 bagi menyediakan satu forum untuk kerjasama antara saintis forensik dari Asia, Afrika, Australasia dan negara-negara Pasifik.