Tanaman Boleh Tumbuh Lebih Baik Walaupun Cuaca Tidak Menentu

ISNIN, 21 OKTOBER 2013 17:03

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 10 Okt 2013 – Para saintis telah menemui gen perangsang tanaman yang mampu menentukan tanaman  boleh tumbuh dengan lebih baik walaupun diancam cuaca sederhana buruk.

Penemuan ini dibentangkan oleh seorang saintis dari, Ghent University Belgium, Dr Natalie Gonzales di Persidangan Sistem Biologi Asia Ke-2 di Hotel Equatorial di sini hari ini.

Persidangan dua hari itu yang dianjurkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyaksikan pembentang dan peserta dari enam buah negara. Mereka membentangkan penemuan terbaru dalam bidang sistem biologi dan molekular dari serata dunia.

Dr Gonzales berkata Intrinsic Yield Genes atau gen perangsang tumbuhan boleh mempengaruhi saiz daun tumbuhan dengan mengawal pembiakan dan perkembangan sel. Ini akan memberi kesan kepada hasil tanaman.

Apa yang unik dengan penemuan mengenai gen perangsang itu, tanaman mampu tumbuh dengan lebih baik walau pun berhadapan dengan keadaan persekitaran yang tidak menentu.

Perangsang tumbuhan ini akan menukarkan kadar sel yang diperlukan untuk membuat daun, mengatur cara sel bercambah dan berkembang supaya ia mampu menangani elemen luar.

Kajian itu menggunakan Arabidopsis (kubis) dan jagung. Apabila ia didedahkan kepada cuaca buruk seperti kemarau pendek, ketiadaan air, gen perangsang tumbuhan akan mula aktif dan membantu tanaman untuk tumbuh dengan lebih baik.

Perangsang tanaman mempunyai kebolehan untuk memastikan tanaman mampu tumbuh dengan baik apabila tertekan dengan persekitaran.

Kajian itu turut mengenal pasti beberapa gen yang dapat meningkatkan produktiviti tanaman berkali ganda dengan menggunakan teknik pembiakan molekular dan kejuruteraan genetik.

Ia mempunyai implikasi yang besar terutamanya dalam menangani impak perubahan iklim dan keperluan makanan bagi penduduk dunia yang semakin meningkat.

Kajian yang yang walau pun amat teknikal itu memberi harapan kepada dunia kerana ia merangsangkan tanaman menggunakan sistem sendiri untuk memastikan ia akan tiba ke meja makan walaupun berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Turut hadir di persidangan itu adalah Prof Dr. Normah Mohd Noor, Pengarah Institut Sistem Biologi UKM.