UKM Menang Pertandingan Pertama Inovatif Jabatan Bendahari

ISNIN, 21 OKTOBER 2013 16:52

Oleh  Anusha Sandran
Foto  Izwan Azman

BANGI, 8 Okt 2013 – Kumpulan METIA yang mewakili Jabatan Bendahari UKM telah dinobatkan sebagai Johan dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Bendahari Peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), selain memenangi anugerah untuk persembahan terbaik.

Sejumlah lapan kumpulan dari Jabatan Bendahari atau kewangan IPTA mengambil bahagian dalam Konvensyen KIK 2013 yang diadakan buat kali pertamanya di sini hari ini.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pusat Perubatan UKM (PPUKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) turut terlibat dalam konvensyen dua hari itu.

Bendahari UKM, Mohd Abdul Rashid Bin Mohd Fadzil berkata walaupun konvensyen itu lebih berkisarkan usaha penyelesaian masalah kerja di jabatan, ia juga merupakan satu mekanisme ke arah mewujudkan sistem penyampaian yang berkesan sepertimana yang digariskan dalam sasaran utama Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara menjelang wawasan 2020.

Beliau berkata, IPTA  harus memberi penekanan terhadap sistem penyampaian kerana terlalu banyak masa di habiskan untuk berurusan dengan para intelek dan bakal graduan.

“Kita perlu bersedia dengan perubahan sistem perkhidmatan yang berorientasikan IT dan dapat mengurangkan kerenah birokrasi di samping membolehkan kebanyakan maklumat diakses melalui sistem maklumat,” katanya pada majlis penutup Konvensyen itu.

Beliau berharap konvensyen demikian boleh terus diadakan pada masa akan datang sebagai usaha melahirkan kakitangan yang kreatif dan inovatif.

Naib Johan Konvensyen KIK dimenangi oleh pasukan One Touch mewakili PPUKM dan tempat ketiga di menangi Kumpulan IQ  dari UiTM.  Anugerah Inovasi terbaik diberi kepada kumpulan One Touch dan anugerah fasilitator terbaik dimenangi MEDISTORM (PPUKM).