Misi Kebajikan Pusat Islam UKM Ke Kemboja

RABU, 02 APRIL 2014 10:38

Oleh Kamarul Baharin bin Supaat
Foto Kamarul Baharin bin Supaat

BANGI, 1 Apr 2014 – Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia bersama beberapa pertubuhan belia tempatan telah berjaya mengadakan satu program kebajikan ke Kemboja baru-baru ini.

Presiden Pertubuhan Belia Kerapatan Graduan Muda (KAGUM) UKM Muhammad Hanapi Jamaluddin berkata misi itu berjaya membantu masyarakat minoriti Islam yang masih dhaif serta jauh ketinggalan dalam arus pembangunan khususnya dalam pendidikan agama Islam.

Seramai 25 orang sukarelawan terdiri dari alumni UKM, guru dan pelajar Maktab Rendah Sains MARA serta anggota World Assembly Muslim Youth (WAMY) Malaysia telah menghulurkan pelbagai perkhidmatan dan bantuan kepada kaum Cam di sana.

Muhammad Hanapi berkata program selama enam hari dari 20 hingga 25 Mac itu bukan sahaja telah dapat memanfaatkan masyarakat kaum Cam tetapi telah juga memberi kesan amat mendalam kepada semua peserta misi.

Program kebajikan itu dijalankan di dua buah kampung terpencil di wilayah Kompong Cam, iaitu Kampung Suay Khleang dan Kampung Soh Kutin, terletak di utara Pnom Penh.

Muhammad Hanapi berkata mereka telah menjalankan pelbagai program bagi menjalin hubungan baik dengan masyarakat Islam di sana. Walaupun terdapat beberapa kekangan dari segi bahasa dan loghat daerah, segalanya dapat di atasi melalui beberapa orang rakyat Cam yang pernah belajar di Malaysia bertindak sebagai jurubahasa.

Matlamat utama program adalah memupuk graduan muda bakal pemimpin negara menyumbang ilmu dalam pelbagai bidang serta menghulurkan bantuan kepada masyarakat Islam yang amat memerlukan itu.

Pelbagai sesi pertemuan ramah mesra diadakan bagi merapatkan ukhuwah Islamiah seperti bertukar pendapat antara peserta dengan belia Kemboja termasuk mengajak belia Cam belajar di Malaysia.

Sukarelawan dari Malaysia juga telah meraih banyak faedah terutama dalam bidang latar belakang sejarah Kemboja, budaya dan cara hidup masyarakat termasuk menghayati kedudukan ekonomi, sosial dan agama masyarakat di sana.

Di antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk mengadakan kelas Bahasa Melayu dan mengaji Iqra’, motivasi peperiksaan SPM/STPM, amali solat, tayangan video kejayaan, eksperimen sains, ceramah agama dwibahasa serta aktiviti sukaneka termasuk perlawanan bolasepak antara peserta dan masyarakat kampung.

Bantuan juga dihulurkan kepada golongan fakir miskin selain melakukan khidmat masyarakat termasuk gotong-royong membersihkan kawasan kampung, surau, madarasah, masjid dan sekolah pondok.

Sukarelawan dan penduduk tempatan juga bekerjasama mengemaskan laluan utama masuk ke kampung serta membersihkan kawasan perkuburan dan kawasan rumah orang tua.

Mereka juga telah menghulurkan bantuan termasuk bungkusan barangan keperluan seperti beras, gula, tepung dan wang khususnya kepada golongan fakir miskin, ibu tunggal serta warga tua.

Ketua Kampung Suay Khleang yang juga seorang Imam, berterima kasih dan berbangga dengan kehadiran rombongan dari Malaysia itu yang telah buat pertama kalinya mampir ke kedua kampung itu.

Muhamad Hanapi melahirkan rasa gembira rombongan telah berjaya memupuk kerjasama dengan masyarakat kedua kampung selain berjaya menimba ilmu dan pengalaman serta mempelajari Bahasa Kemboja.

Beliau berharap dapat meneruskan program demikian dari masa ke semasa termasuk menjalankan program kebajikan demikian juga di dalam negara termasuk di Sabah dan Sarawak.