Pusat Penyelidikan UKM Digesa Tingkatkan Inovasi

JUMAAT, 04 APRIL 2014 14:41

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 2 Apr 2014 – Pusat-pusat penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di seluruh negara harus meningkatkan program penyelidikan mereka memandangkan keupayaan mereka belum digunakan sepenuhnya.

Timbalan Naib-Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar berkata banyak lagi penemuan dan maklumat perlu dihasilkan oleh pusat-pusat penyelidikan itu.

Berucap di Majlis Penghargaan Penglibatan Bagi Majlis Perasmian Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) di sini hari ini, Prof Mazlin yakin pusat penyelidikan UKM seperti PPL dan yang lain mampu memberi maklumat kepada masyarakat tempatan mengenai penyelidikan yang dijalankan oleh UKM.

Umpamanya  Pusat Penyelidikan dan Ladang Jatropa di Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang menghasilkan buah jatropa untuk dijadikan minyak sebagai bahan api kapal terbang jet, hanya menggunakan 10 ekar daripada 100 ekar yang diperuntukkan sebagai ladangnya.

Beliau telah melawat PP Jatropa baru-baru ini dan mendapati kegiatannya berjalan lancar. Namun ladang itu tidak memanfaatkan keseluruhan kapasitinya untuk pengeluaran yang lebih tinggi.

Begitu juga dengan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR) di Mersing, yang melakukan beberapa kajian penting di sekitar perairan pantai timur Johor, masih terdapat banyak lagi bidang yang belum diterokai di situ.

UKM juga mempunyai pusat-pusat lain seperti Hutan Simpan Tetap di dalam kampusnya di Bangi, Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, Geopark Langkawi, Tasik Chini di Pahang, yang merupakan paya air tawar kedua terbesar di Malaysia dan ditauliahkan sebagai Rizab Biosfera UNESCO.

Semua pusat penyelidikan UKM itu telah memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada kajian akademik dan sains gunaan, termasuk PPL, kata Prof Mazlin.

Majlis penghargaan tersebut dianjurkan bagi mengenang kembali detik-detik perasmian PPL oleh Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 11 Ogos 2013 bersamaan 3hb Syawal 1423.

Prof Datuk Dr Rahmah Mohamad, yang mempengerusikan jawatankuasa perasmian PPL ketika itu, menyifatkan majlis itu sebagai di antara kenangan yang paling manis baginya selaku Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Tempoh beliau sebagai Timbalan Naib Canselor tamat pada 31 Disember 2013.

Beliau menyebut bahawa beliau masih teringat majlis perasmian itu yang jatuh pada hari ketiga Hari Raya ketika ia secara rasminya dinamakan Kampus Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah (KTAHMS) dan mengadakan Hari Terbuka untuk penduduk tempatan melawat dan melihat sendiri pameran mengenai penyelidikan sains oleh UKM.

Turut hadir di majlis penghargaan tersebut pengarah PPL Prof Dr Che Aziz Ali dan Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Prof Dr Mohd Raihan Taha serta penyelidik dan kakitangan PPL dan LESTARI.

Semua ketua institut, pusat dan fakulti yang menyumbang kepada kejayaan perasmian itu menerima sijil penghargaan, pokok bonsai Jepun dan cenderamata.