Sambutan Hangat Untuk Konsert ‘Maestro Johari Salleh’

SELASA, 16 DISEMBER 2014 16:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 13 Disember 2014  – Konsert khas ‘Maestro Johari Salleh’ anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur hari ini mendapat sambutan hangat di kalangan peminat muzik tanah air hinggakan masa persembahannya dilanjutkan.

Konsert itu diadakan untuk menghargai sumbangan Datuk Dr Johari Salleh kepada muzik tanah air. Beliau yang diiktiraf sebagai Tokoh Muzik Tanah Air adalah Felo Utama UKM.

Johari sendiri telah memimpin persembahan itu yang turut dijayakan oleh beberapa artis, termasuk Alyah, Nassier Wahab dan Johana Johari, anak perempuannya. Antara lagu yang didendangkan termasuk Berdebar Rasa Hati, Papaku, Duniaku, Gadis Kota, Kau Yang Terindah dan Hati Lebur Jadi Debu.

Beliau telah mempamerkan kehandalannya sebagai pengubah lagu dan pentafsir hasil karya seniman lain yang telah pun pergi seperti P Ramlee, Gus Steyn, Jimmy Boyle dan Alfonso Soliano.

Ramai di kalangan penonton terdiri daripada sanak saudara dan kenalan seniman-seniman yang pernah membimbing dan menjadi mentor kepada Johari ketika beliau berkhidmat di RTM dari tahun 1961 hingga 1982.

Turut menyerikan persembahan itu adalah anak lelaki Jimmy Boyle, Jimmy junior dan anak perempuan Alfonso Soliano, Isabella dengan kedua-dua mereka menghiburkan penonton bermain piano dan menyanyi.

Jimmy Boyle Jr menghiburkan dengan memberi nafas baru kepada rangkaian lagu-lagu gubahan bapanya Putera Puteridan Jauh jauh manakala Isabella Soliano mempersembahkan lagu-lagu lama yang masih popular.

Konsert itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat muzik tempatan, termasuk ‘jazz’ serta ‘pop’, hinggakan Johari menyampaikan ‘encore’ atau persembahan lanjutan sebagai menghargai tepukan gemuruh penonton.

Beliau yang berasal dari Singapura adalah seorang maestro muzik yang cukup terkenal di Malaysia dengan mempunyai pengalaman yang amat luas dalam bidang muzik dan telah banyak menabur bakti untuk membimbing pemuzik-pemuzik muda.

Konsert yang julung kali diadakan itu disaksikan Timbalan Naib Canselor Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Imran Ho Abdullah (Jaringan Industri dan Masyarakat) dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Hj Abu Bakar Abdul Rahim.