UKM Lancar Kereta Sel Fuel Pertama Buatan Malaysia

ISNIN, 08 DISEMBER 2014 12:33

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 4 Disember 2014 – Kenderaan Sel Fuel Hidrogen yang pertama dalam Negara telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Ia adalah sebuah kereta golf menggunakan enjin yang dicipta dan dihasilkan oleh Institut Sel Fuel UKM.

Enjinnya menjana kuasa menggunakan sistem Proton Exchange Membrane (PEM) sel fuel/superkapasitor Kuasa Hibrid. Enjinnya mempunyai kecekapan tenaga yang lebih tinggi daripada enjin kereta biasa, iaitu 50% berbanding 30%.

Enjin itu mudah dihasilkan, kecil dan seberat hanya 25%  daripada berat bateri biasa dan memerlukan hanya 75% ruang yang diperuntukkan bagi bateri.

Pelancaran itu adalah sebahagian daripada siri ke-5 persidangan media dan pameran pencapaian kejayaan universiti penyelidikan Malaysia yang mana UKM menjadi tuan rumah kali ini.

Turut menyaksikan pelancaran itu ialah Pengarah Pengajian Tinggi Prof Dato’ Dr Asma Binti Ismail dan Timbalan Naib Canselor UKM (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar.

Enjin kereta golf itu direka dan dihasilkan oleh sepasukan penyelidik dari Kumpulan Kejuruteraan Sistem Proses Sel Fuel yang diketuai oleh bekas Pengarah dan Pengasas Sel Fuel serta Felo Penyelidik Utama Profesor Ir Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud.

Kuasa pengeraknya adalah dari timbunan lapisan sel fuel yang menjana kuasa elektrik melalui tindak balas elektrokimia antara hidrogen dan oksigen dari udara pada suhu rendah yang menghasilkan air sebagai sampingan. Kenderaan sel bahan api itu mempunyai pelepasan sifar dan bersih, mesra alam serta lestari.

Prof Wan Ramli dalam catatan Facebooknya berkata syarikat kereta terkemuka dunia seperti Toyota, Honda, Nissan, Ford, Renault dan GM akan melancarkan kenderaan komersial sel fuel pada tahun 2015 di Jepun, Jerman, beberapa bandar besar Eropah dan Amerika Syarikat termasuk Los Angeles yang sudah pun mempunyai infrastruktur bekalan hidrogen.

UKM telah diberi mandat oleh Kementerian Pendidikan untuk mengetuai projek yang membangunkan kenderaan asli pelepasan sifar menggunakan sel fuel dengan geran berjumlah RM7 juta untuk 3 tahun.

Ia dengan kerjasama beberapa universiti di Malaysia dan syarikat automotif Malaysia berharap dapat mengeluarkan prototaip kereta bahan api sel menjelang 2016.

Prof Wan Ramli berterima kasih dengan Pengarah baru Sel Fuel Institut UKM, Prof Dr Abu Bakar Muhamad, Timbalan Pengarah, Prof Dr Siti Kartom Kamarudin, Prof Madya Dr Edy Winson Majlan serta semua felo dan kakitangan makmal yang membantu melancarkan kenderaan itu.

Beliau juga berterima kasih dengan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM) Prof Dr Mohd Fauzi Zain dan kakitangan CRIM kerana sokongan mereka.