Penghargaan Kepada Prof Dato’ Dr Nik Hassan Kerana Khidmat Cemerlang Lebih 50 Tahun

JUMAAT, 21 FEBRUARI 2014 16:31

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 20 Feb 2014 – Sumbangan pakar arkeologi Prof Emiritus Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dalam bidang pendidikan menjadi sumber ilham kepada penyelidik dan para akademi dalam bidang pendidikan dan sejarah Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada masakini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Hj Mohd Awal berkata penyelidikan sejarah tamadun Melayu terhutang budi kepada beliau kerana khidmatnya memajukan bidang itu sehingga menjadikannya suatu kajian penting di peringkat antarabangsa.

Prof Noor Aziah telah melancarkan buku ‘Panji Pendeta’ dan seminar sehari menghargai sumbangan Prof Dato’ Nik Hassan selama 50 tahun dalam bidang pendidikan, di sini hari ini. Ia dianjurkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA).

Prof Noor Aziah berkata pendidikan Melayu merupakan bidang yang sentiasa diminati Prof Dato’ Nik Hassan yang telah menulis banyak artikel dalam jurnal mengenai kesannya terhadap masyarakat moden Malaysia.

Turut hadir di majlis pelancaran iitu ialah pengarah ATMA Prof Dr Abdul Latif Samian dan Prof Dato’ Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, yang telah menghuraikan pengisahan mengenai Prof Dato’ Nik Hassan.

Prof Dato’ Nik Hassan adalah Felo Penyelidik Utama di ATMA dan telah menghasilkan lebih 150 buah artikel dalam pelbagai jurnal di peringkat nasional dan antarabangsa serta menghasilkan lebih daripada 50 buah buku berkaitan penyelidikan arkeologi dan sejarah.

Beliau menerima Anugerah Felo Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dua tahun berturut-turut pada 2011 dan 2012. Anugerah itu diberikan atas sumbangan dan khidmatnya memelihara dan memulihara Sejarah Melayu dan Sejarah Malaysia amnya.

Beliau menjadi Yang Dipertua Ikatan Ahli-ahli Arkeologi Malaysia (Ikatan) selama 25 tahun.

Prof Dato’ Nik Hassan telah menyertai Program Arkeologi Antara Asean di Indonesia (1984), Malaysia (1985), Filipina (1986),Thailand (1987), Brunei (1988) dan Singapura (1989).

Kajian terbaru beliau ialah penempatan manusia pra sejarah di hutan bakau di Pulau Kalumpang, Kuala Gula, Perak.