UKM Harus Jadi Suara Hati Negara

ISNIN, 24 FEBRUARI 2014 10:37

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Feb 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) harus menjadi suara hati negara melalui penyelidik sains sosialnya serta kegiatan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaannya (FSSK).

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Dato’ Dr Ir Mohamad Zawawi Ismail berkata kajian demikian harus lebih mirip kepada sumber tempatan dan memberi tekanan kepada pakar-pakar sosiologi tersohor tanah air seperti Allahyarham Prof Syed Hussein Al-Attas.

Beliau membuat cadangan itu ketika melancarkan majlis bicara Sains Sosial Malaysia dan penghargaan buku atas sumbangan besar Felo Utama IKMAS Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong dalam bidang sains sosial Malaysia dan sosiologi pembangunan, di sini hari ini.

Prof Zawawi berkata penyelidikan sains sosial di Malaysia harus diperbaharui dan menjadi lebih terbuka kerana struktur masyarakat kian berubah berbanding zaman penjajah dahulu.

Beliau berkata kajian sains sosial di negara ini masih dilakukan berdasarkan acuan barat dan dengan itu perlu wujud kebebasan akademik yang lebih terbuka seperti terdapat dalam tahun-tahun 60an.

Majlis penghargaan bertajuk Sains Sosial dan Kajian Pembangunan: Kumpulan Rencana Penghormatan untuk Profesor Abdul Rahman Embong dianjurkan oleh IKMAS dan Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) di sini sempena hari ulang tahun peranakannya yang ke 70.

Prof Abdul Rahman pernah memegang jawatan presiden PSSM dan kini bertugas sebagai penasihat khas pertubuhan itu.

Buku itu adalah hasil usaha mantan pelajar-pelajar pasca siswazah yang diselia olehnya atau yang mengikuti syarahan beliau di IKMAS sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Majlis itu juga menyaksikan pelancaran buku hasil karyanya berjudul Sastera, Politik dan Masyarakat ia itu antologi esei-eseinya yang ditulis sejak tahun 1960an sehingga 2000an.

Ucapan dasar untuk bicara itu disampaikan oleh Prof Ulung Dato’ Dr Shamsul Amri Baharuddin yang membangkitkan persoalan hala tuju sains sosial di negara ini dari konteks sejarah dan cabaran semasa.